SAYA CABAR PAS NAMAKAN CALON MB

KUALA LUMPUR – “Saya cabar Pas untuk menamakan calon Menteri Besar Kelantan,” kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan balas tehadap kenyataan Pas mengenai cadangan calon menteri besar Kelantan adalah bukti DAP adalah ketua Pakatan Harapan.

“Sejak dahulu, Pas tidak pernah menamakan mana-mana pemimpin mereka sebagai calon menteri besar.

“Sejak zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi, Pas tidak pernah mengemukakan mana-mana nama.
“Nama Allahyarham pun dicadangkan Semangat 46. Ini kerana Pas dan Semangat 46 menjalin kerjasama yang baik ketika itu,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, Pas tidak berani menamakan mana-mana calon menteri besar kerana parti itu tidak jelas dengan perjuangan mereka.

“Kalau dah tak ada nama, maknanya mereka masih tak jelas siapa yang boleh memimpin dan mentadbir Kelantan.

“Sepatutnya, jika Pas merasakan Datuk Ahmad Yakob masih layak mentadbir Kelantan, silalah maklumkan.

“Atau Pas merasakan timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah atau Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz layak menggantikan sedia ada. Tapi, Pas tidak berbuat demikian,” jelasnya.

Beliau berkata, nama menteri besar sebelum ini hanya diumum selepas pilihan raya sahaja.

Dalam pada itu, Husam menerima cadangan dia sebagai calon meteri besar Kelantan.

“Saya terima cadangan ini walaupun ia bersifat sementara. Ia membuktikan perjuangan Pakatan Harapan jelas.

“Kita tahu siapa yang boleh mentadbir dan tidak. Tetapi, jika ada yang lebih layak, saya akan beri laluan,” katanya.

[Husam calon MB Pakatan Harapan?]

Terdahulu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang memberi cadangan Husam merupakan calon Menteri Besar Kelantan jika Pakatan Harapan menang pada PRU14 nanti.

Kit Siang berkata, beliau mahu melihat pada Aidilfitri akan datang, tampuk kerusi kepimpinan kerajaan Kelantan akan berubah dengan kepimpinan diterajui oleh Husam.

– SH

.