SAYA BUKAN ORANG LUAR DI SUNGAI BESAR, KATA SHAHRIZAT

KETUA Wanita Umno Shahrizat Jalil berkata dirinya bukan orang luar untuk kawasan Parlimen Sungai Besar kerana sebagai pemimpin tertinggi sayap Wanita parti itu beliau sering turun padang terutamanya ketika pilihan raya umum berlangsung.

Shahrizat berkata, beliau juga akan meminta kepada Presiden Umno Najib Razak agar kerusi Parlimen Sungai Besar dikembalikan kepada Wanita Umno kerana secara tradisinya kerusi itu ditandingi calon daripada sayap Wanita parti Melayu itu.

“Saya sebenarnya nak cakap perkara asas, saya bukan orang luar di Sungai Besar, selaku ketua Wanita Umno saya kerap juga datang ke Sungai Besar, terutamanya semasa arwah Noriah Kasnon menjadi ketua Wanita.

“Masa pilihan raya kecil saya dan ketua Wanita Selangor kita jadi jentera tulang belakang Umno di Sungai Besar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa menghadiri undangan perkahwinan anak lelaki Timbalan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Ramli Norani hari ini.

“Saya bukan pemimpin yang hanya duduk di Kuala Lumpur, saya turun padang dan memahami naluri pengundi,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada akan bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Saya memang perjuangkan semua wanita. Apatah lagi kerusi yang diharapkan oleh Wanita, Sungai Besar satu-satunya kerusi calon Wanita. Kalau hilang kerusi tradisi ini yang telah dimenangi Wanita ini satu kerugian besar buat wanita.

“Mana ahli Parlimen ada hari ini kita sokong. Apatah lagi kerusi tradisi Wanita. Saya akan minta perdana menteri kekalkan kerusi tradisi Wanita kepada Wanita. Itu secara prinsipnya,” kata Shahrizat.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar dengan majoriti 399 undi menewaskan calon PAS Mohamed Salleh M Hussin dengan 18,695 undi.

Pada 2016, Noriah terbunuh dalam nahas helikopter ketika berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Susulan itu, kerusi Parlimen Sungai Besar dimenangi Budiman Mohd Zohdi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dengan majoriti 9,191 undi menewaskan calon PAS Abdul Rani Osman dan calon Amanah Azhar Abdul Shukur.

“Sebagai ahli politik kita mesti bersedia hadapi segala-galanya. Bukan hanya nak jadi calon, calon payung terjun, kerja kuat, tohmahan kadang-kala dapat tawaran permaidani merah saya tersentuh hati.

“Jarang sekali calon payung terjun dapat tawaran permaidani merah daripada ketua bahagian. Saya lihat ini satu penghormatan bukan untuk saya tetapi pemimpin lelaki untuk wanita,” kata Shahrizat lagi.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunus pada sidang media itu juga berkata pihaknya mengalu-alukan kehadiran Shahrizat sekiranya beliau bertanding di kerusi berkenaan.

Jamal berkata, Budiman perlu bersedia untuk melepaskan kerusi itu dan memberikan tumpuan kepada DUN Sungai Panjang.

“Budiman pemimpin cukup baik yang bekerja kuat dan popular di DUN Sungai Panjang. Jadi kalau ini berlaku kita minta Budiman bersedia tanding Sungai Panjang.

“Kalau Shahrizat tanding di Sungai Besar dan menang jawatan menteri itulah… Budiman boleh jadi exco kalau tak jadi menteri besar Selangor jika Barisan Nasional (BN) memerintah,” kata Jamal.

“Kalau saya pentingkan peribadi sudah pasti saya tumbuk meja untuk tanding kerusi Parlimen Sungai Besar,” katanya lagi.

The Malaysian Insight turut difahamkan Shahrizat mula melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Sungai Besar selepas menghadiri undangan perkahwinan tersebut.

Difahamkan beliau memulakan lawatannya ke sekitar Sungai Besar dengan melawat PDM Sungai Berkat sebelum ke Parit Sungai Leman.

– https://www.themalaysianinsight.com

.