SAYA BUKAN HINA PENJUAL NASI LEMAK, PEMANDU UBER, KATA DR MAHATHIR

Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau tidak menghina sesiapa apabila membangkitkan mengenai isu graduan yang terpaksa menjual nasi lemak dan menjadi pemandu kereta.

Jelasnya, beliau membangkitkan isu tersebut untuk mengulas mengenai masalah pengangguran di kalangan graduan yang terlatih dalam bidang profesional.

Katanya, anak muda tersebut kini menanggung hutang tinggi dan terpaksa meraih rezeki dengan cara itu memandangkan dasar yang dilaksana kerajaan menutup peluang pekerjaan dalam bidang pengajian graduan terbabit.

“Ini bukan soal menghina sesiapa. Ada orang jual nasi lemak kerana itu cara mereka menyara hidup. Ada orang yang terpaksa bawa kereta Uber bukan kerana itu pilihan mereka.

“Mereka terlatih dalam bidang yang lebih tinggi di mana melayakkan mereka (apabila keluar) menjadi jurutera dan sebagainya,” katanya di pejabat Yayasan Perdana di Putrajaya yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook rasmi beliau hari ini.

Dr Mahathir dalam kenyataannya minggu lalu berkata graduan negara ini begitu terdesakhingga terpaksa bekerja sebagai penjual nasi lemak dan pemandu Uber .

Dalam kenyataan itu, beliau turut menyalahkan kerajaan kerana gagal menyediakan sistem pendidikan bermutu.

Kenyataannya itu disambut dengan kecaman oleh beberapa pihak termasuk menteri Kabinet Umno.

Menjawab kritikan tersebut, beliau dengan sinis mencadangkan agar kerajaan menghantar individu yang ingin menjual nasi lemak untuk belajar ilmu perubatan atau kejuruteraan.

“Kalau kita nak semua graduan buat nasi lemak, buat pilihanlah siapa jual nasi lemak. Kita akan hantar ke universiti supaya belajar jadi jurutera, belajar jadi doktor kemudian pergi jual nasi lemak.

“Orang yang buat cara macam ini mungkin kurang siumanlah,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa graduan ini melakukan pekerjaan tersebut kerana terpaksa.

“Orang ini terpaksa, bukan kerana kesilapan mereka tapi kerana dasar kerajaan yang kononnya (berkata keadaan) ekonomi menguntungkan negara dengan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), (pendapatan) perkapita tinggi tapi (graduan) ini masih menganggur.

“Tetapi kerana peluang ini tidak ada kerana dasar ekonomi negara maka mereka terpaksa menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Uber untuk menyara hidup, ini bukan pilihan mereka.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.