SAYA BOLEH KOREK KEBURUKAN JUGA, KATA DR M

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kepada pesaing politiknya bahawa beliau juga boleh mendedahkan keburukan mereka.

Beliau berkata demikian selepas dua akhbar berkaitan Umno melaporkan gaya hidup mewah cucu perempuannya baru-baru ini.

“Dalam politik memburukkan orang sentiasa jadi strategi. Ini adalah idea untuk mengalihkan perhatian daripada 1MDB, derma RM2.6 bilion dan sebagainya.

“Kamu pergi korek keburukan orang lain, saya boleh korek keburukan juga,” kata Mahathir semasa sidang akhbar di pejabat Pakatan Harapan (HARAPAN) di parlimen hari ini.

Ahad lalu, Utusan Malaysia dan Berita Harian menyiarkan berita muka depan mengenai gaya hidup cucu bekas perdana menteri itu, Meera Alyanna Mukhriz.

Utusan Malaysia menerbitkan gambar Meera di atas kapal layar yang didakwa dinamakan sempena namanya dan mendakwa gadis itu sering memakai pakaian berjenama dan menjalani gaya hidup mewah.

Berita Harian, sebaliknya menerbitkan gambar-gambar Meera dan adik perempuannya Melia Serena di atas bot dengan kawan-kawannya.

 

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz semalam berkata tidak ada salah mempamerkan kemewahan diri asalkan kekayaan itu datang dari sumber yang halal.

Namun Nazri berkata, semua pihak juga mahu tahu sumber kekayaan keluarga bekas perdana menteri itu.

“Kita pun nak tahu dari mana datangnya kekayaan ini. Saya dah tanya Dr Mahathir banyak kali dah bagaimana anak-anak dia boleh kaya, bukan pandai meniaga pun.

“Jadi, kalau dah jadi orang kenamaan public figure maka orang berhak untuk tahulah dari mana datangnya kekayaan itu.

“Jadi, jangan berpura-puralah kalau nak tunjuk perjuangkan orang yang susah atau apa,” kata Nazri.

– M’kini

.