SAYA BERSARA TANPA ‘UNFINISHED BUSINESS’, KATA KHALID

DALAM ucapan terakhir meraikan persaraannya hari ini, bekas Ketua Polis Negara (KPN), Khalid Abu Bakar berkata beliau berpuas hati dan sudah melakukan tugasnya berdasarkan kemampuan terbaiknya ketika menjadi KPN.

“Saya telah abdikan seluruh jiwa raga berpegang pada satu istikamah iaitu kesetiaan. Bila wujud taat setia, insya allah kejayaan akan jadi milik kita. Kini bila tiba masa untuk tinggalkan pasukan, saya terima.I have given my all and my best and tiada apa unfinished business yang perlu saya langsaikan,” katanya selepas majlis penyerahan tugas di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pagi tadi.

Katanya lagi selagi mana beliau masih hidup, beliau akan terus berjuang bersama pasukan polis.

Khalid bersara hari ini selepas berkhidmat selama 40 tahun dalam pasukan polis.

Beliau diganti bekas Pengarah Cawangan Kas, Mohamad Fuzi Harun.

Pada sidang media yang diadakan selepas majlis persaraan hari ini, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata Putrajaya memutuskan untuk melantik Fuzi menggantikan Khalid untuk mengetuai pasukan polis negara dan mengekalkan Noor Rashid Ibrahim sebagai timbalan ketua polis negara.

“Kami juga memutuskan untuk melantik Mohd Mokthar Shariff sebagai pengarah Cawangan Khas,” katanya.

Menyentuh jasa Khalid, Zahid berkata bekas KPN itu adalah seorang yang sangat menakjubkan kerana kesetiaan dan kemampuannya untuk menyelesaikan masalah dengan cara yang profesional.

Sementara itu, KPN baru, Fuzi pula berkata 343 jawatan baru sudah dibentuk untuk meningkatkan keberkesanan unit anti pengganas.

Pelantikannya itu dianggap penting ketika negara berdepan ancaman baru yang muncul kerana keganasan Kumpulan Negeri Islam Iraq dan Syria (IS).

Beliau dilihat sebagai calon terbaik kerana pengalaman luasnya dalam Jabatan Cawangan Khas dan menangani isu pencegahan keganasan.

– https://www.themalaysianinsight.com/b

.