‘SAYA BELI RUMAH DENGAN WANG HASIL TITIK PELUH’ – ADAM ROSLY

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly berkata beliau mampu membeli kediaman mewah ala sebuah istana di Ampang kerana beliau merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya.

“Pada hari ini, bukan suatu yang luar biasa untuk golongan muda menjadi kaya. Saya boleh beri jaminan bahawa saya memperoleh wang hasil titik peluh saya,” kata Adam.

Adam menjelaskan bahawa beliau mendapat harta kekayaan tersebut melalui pelbagai perniagaan yang diwarisi daripada keluarganya.

“Tidak semua orang yang kaya memperoleh wang menerusi dana politik. Jika saya berbuat demikian, saya tidak akan secara terbuka membina rumah di kawasan seperti itu,” katanya.

Adam Rosly.

Adam berkata rumah yang didakwa Jamal bernilai RM7 juta itu hanya menelan kos pembinaan sebanyak RM1 juta.

Katanya, beliau telah memenangi bidaan untuk rumah yang merupakan projek terbengkalai dalam satu lelongan bank.

Sambil menegaskan beliau tiada sebarang kedudukan dalam kerajaan negeri, Adam berkata AMK melakukan yang terbaik untuk memastikan ahlinya tidak menerima rasuah.

“Kami bersih dan saya menggesa Jamal supaya tidak bermain politik kotor,” katanya.

Adam berkata demikian pada Selasa selepas membuat laporan polis terhadap Jamal kerana berkumpul di hadapan rumahnya di Ampang pada Ahad lalu.

MSTAR

.