‘SAYA AKAN BUKTIKAN ADA MP MILIKI PHD PALSU’

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming hari ini mendakwa ada di kalangan ahli parlimen memiliki kelulusan akademik kedoktoran falsafah (PhD) palsu.

Malah katanya, kelulusan palsu ini bukan sahaja melibatkan PhD malah di peringkat sarjana.

“Sebenarnya saya sudah bangkitkan isu ini beberapa kali di mana ada YB yang duduk di dalam dewan (Parlimen) ini, yang mempunyai ijazah palsu, bukan saja PhD (doktor falsafah) tapi di tahap Master (sarjana) juga,” katanya ketika bertanyakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching (BN-Tawau) di Parlimen hari ini.
Wakil rakyat DAP itu bagaimanapun tidak menyatakan siapakah ahli parlimen yang dimaksudkannya itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Awas jika anda pemegang PHD palsu!]

Mengulas lanjut, Kiang Ming menggesa bagi mana-mana ahli parlimen yang berstatus Dr mengisytiharkan kebenaran status mereka.

“Buktikan bukan dari ijazah kilang dan ini akan memberi satu tanda yang sangat baik kepada semua rakyat Malaysia bahawa kita sebagai ahli parlimen tidak boleh guna ijazah palsu sebagai cara untuk dapat PhD,” katanya.

Menurut Kian Ming lagi, beliau akan mengemukakan bukti mengenai dakwaannya berhubung pemegang Dr palsu tersebut.

“Menteri, saya akan beri bukti nanti,” katanya lagi.

Terdahulu, Mary Yap berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil beberapa langkah bagi mengekang penyalahgunaan status pemilikan Ijazah Kedoktoran (PHD) palsu.

Mary Yap berkata, antara langkah yang diambil KPT termasuk membangunkan pangkalan data khas bagi menyemak kesahihan status pemegang PHD individu.

“Pangkalan data yang sedang dibangunkan itu akan mengandungi senarai nama semua pemegang PHD yang sah daripada universiti awam dalam negara ini.

“Ia akan membolehkan orang awam menyemak dan mengesahkan status PHD seseorang,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (Setiawangsa-BN) di Parlimen, hari ini.

– SH