SATU PERKARA ZAHID SUDAH BERJAYA

Secara tiba-tiba saja isu berkaitan Dr. Zakir Naik kembali diperbualkan, malah lebih panas, sebaik Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi mendedahkan bahawa pendakwah kelahiran India itu sudah memiliki taraf pemastautin tetap Malaysia sejak lima tahun lalu.
Kenapa pemilikan status PR itu baru didedahkan sekarang?
Jika selama lima tahun kerajaan boleh menyimpan rahsia mengenainya, mengapa tiba-tiba ia diberitahu secara terbuka?
Zahid pula sudah menjadi Menteri Dalam Negeri sejak 2013, mengapa hanya setelah Hishammuddin Hussein diumumkan oleh Najib Razak sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri yang dilihat ramai suatu persaingan atau cubaan menyingkirkannya, barulah beliau mendedahkan tentang status PR Dr. Zakir Naik itu?
Hakikatnya, sejak tahun-tahun kebelakangan ini Dr. Zakir Naik bukan lagi asing, malah amat kerap datang ke Malaysia untuk menyampaikan ceramah-ceramahnya dan diberi sambutan meriah atas keyakinan ramai terhadap ilmu yang dimilikinya.
Tetapi, perdebatan kali ini bukan saja tentang isi dan penyampaian ceramahnya, malah juga tentang taraf pemastautin tetap atau PR yang dimilikinya.
MCA, MIC, Hindraf dan parti-parti komponen BN di Sarawak dengan lantang mempertikaikan kewajaran status PR yang diberikan kerajaan terhadap Dr. Zakir Naik dan mahukan ia disemak semula.
Bersama penganut agama Hindu dan bukan Islam yang sedia menolak keberadaan dan keistimewaan yang diberikan kerajaan kepada Dr. Zakir Naik, kini komponen BN sendiri turut serta dengan mereka.
Semuanya jadi lebih rancak kerana Zahid Hamidi mendedahkan status PR yang dimiliki oleh penceramah agama tersebut, namun awal-awal turut membersihkan namanya dengan mengatakan status PR itu diberikan oleh pendahulunya yang menjadi Menteri Dalam Negeri sebelum ini.
Sementara parti-parti komponen BN menolak Dr. Zakir Naik dan mahu status PRnya disemak semula, masyarakat, parti serta NGO Islam pula terus bersuara mempertahankan penceramah itu.
Bahkan di sebalik kerajaan India mengeluarkan waran tangkap kedua terhadap Dr. Zakir Naik atas dakwaan menggalak serta mempromosi ketidakharmonian antara masyarakat berlainan agama dan penggubahan wang haram, kelompok Islam terus mendesak kerajaan agar melindungi dengan tidak menyerahkannya untuk dibicarakan di negara tersebut.
Berdepan dengan keadaan ini, Najib sekarang ini jelas berada di persimpangan antara kelompok Islam, termasuk Pas yang menyokong Dr. Zakir Naik dengan parti-parti komponen BN sendiri yang menolak dan mendesak status PR penceramah agama itu disemak semula.
Menyemak semula status PR Dr. Zakir Naik, apalagi jika sedia menyerahkannya kepada kerajaan India, tentunya akan membuatkan masyarakat Islam marah dan tersinggung, tetapi mengekal dan melindunginya pula pasti akan membuatkan sokongan Islam, khususnya pengundi India, terus menguncup.
Apa pilihan Najib?
Dapatkah Menteri Tugas-Tugas Khas yang baru dilantik membantu abang sepupunya menangangi perkara itu?
Realitinya, semua ini berlaku tidak lain disebabkan Zahid Hamidi secara tiba-tiba dan terbuka mendedahkan Dr. Zakir Naik sudah memiliki status PR, walhal ia tersembunyi dengan baik sejak lima tahun lalu.
Selepas membuka rahsia itu, Zahid pula nampaknya tidak lagi berkata apa-apa.
Jika tidak didedahkan status PR itu, komponen BN pun barangkali tidak perlu untuk bercakap banyak tentang Dr. Zakir Naik.
Diam-diam, Zahid nampaknya tidak duduk saja, bahkan sudah berjaya dalam satu permainan politiknya.
ShahbudinHusin