SATU LAWAN SATU: JANGAN USIK KERUSI PAS

SHAH ALAM – Strategi pembangkang untuk satu lawan satu dengan BN hanya dapat dicapai jika kerusi Pas tidak diusik.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti pembangkang lain boleh berbincang untuk bertanding di kerusi-kerusi lain.

“Ada orang tanya macam mana nak lawan satu lawan satu dengan BN kalau kita tak bersama (dalam satu pakatan pembangkang). Saya kata apa yang susah!

“Pas akan pertahankan kerusi kita, (parti lain) bincang kerusi lain. Saya fikir kalau kita ambil kaedah tersebut masalah boleh selesai,” katanya dalam Ceramah Mega Rakyat anjuran Pas Selangor di Paya Jaras, malam semalam.

Menurut Tuan Ibrahim, Pas juga hanya akan bertanding di kerusi yang diyakini boleh dimenangi parti Islam itu.

“Sabah dan Sarawak kita bertanding sedikit sebab kita serah pada rakan-rakan yang lain. Pas kita ukur kekuatan politik kita.

“Jentera parti, ahli parti dan markas semua kita ambil kira faktor ini untuk letak calon Pas. Jadi ini yang kita buat supaya kita sama-sama dapat hadapi (BN),” katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut menyatakan kekesalannya dengan sikap Parti Amanah yang cuba merebut kerusi Pas.

“Parti Amanah hari-hari isytihar akan bertanding semua kerusi Pas dan akan tawan semula Kelantan daripada Pas. Lepas itu minta kita kerjasama dengan dia.

“Kita bukan anak tangga untuk orang pijak naik ke atas. Minta maaf, kita hanya akan bekerjasama dengan parti yang pandai hormati kita,” katanya.

– Sinar Harian

.