SARJANA ISLAM AS BATAL LAWATAN KE MALAYSIA

SEORANG sarjana Islam dari Amerika Syarikat (AS) membatalkan perjalanannya ke Malaysia selepas mendapat tahu penahanan penulis dan wartawan dari Turki, Mustafa Akyol di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ahli akademik dan penulis Asma Afsaruddin dijadual melancarkan terjemahan bukunya bertajuk “The First Muslims: History and Memory” ke dalam Bahasa Melayu di Kuala Lumpur pada Mac tahun depan.

Majlis dianjurkan Islamic Renaissance Front (IRF), yang sebelum ini menganjurkan beberapa majlis ceramah Mustafa pada penghujung September lalu.

Pada 25 September, Mustafa ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika hendak menaiki pesawat pulang ke AS.

Pengerusi IRF Dr Ahmad Farouk Musa berkata, dalam emel yang dihantar hujung minggu lalu, Asma memberitahu penganjur yang dia membuat keputusan untuk tidak hadir ke majlis itu.

“Asma memberitahu dia tidak dapat hadir ke majlis pelancaran itu selepas mendapat tahu tentang pengalaman pahit Mustafa,” kata Ahmad Farouk kepada The Malaysian Insight.

“Saya kecewa, bukan dengan Asma, tetapi keadaan di negara kita yang menyebabkan intelektual Islam luar negara bertindak demikian,” katanya.

“Bagi saya, ia menggambarkan negara ini suram dan para intelektual tidak diraikan.”

Mustafa dibebaskan selepas 18 jam ditahan dan disoal siasat atas dakwaan mengajar tentang Islam atau topik berkaitan dengan Islam tanpa pertauliahan daripada Jawi.

Mustafa mengkritik tindakan Jawi dan berkata ia menggambarkan masalah besar dengan negara-negara Islam di mana Islam diperlekehkan.

Sebulan selepas penahanan Mustafa, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku tulisannya bertajuk “Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty”.

Faroul yang juga disiasat Jawi kerana menganjurkan ceramah berkata pelancaran buku Asma itu akan diteruskan, tetapi IRF akan mencari speaker pengganti.

“(Buku) sudah diterjemah. Kita dalam pertengahan suntingan, mendapatkan set taip dan menghantarnya untuk dicetak. Ia akan siapa pada Februari.”

Buku Asma diterbitkan pertama kali pada 2007 ketika dia mengajar di Universiti Notre Dame di AS. Buku itu mengkaji semula sejarah tiga generasi pertama umat Islam, termasuk Nabi Muhammad.

Asma kini menjadi pensyarah di Jabatan Near Eastern Languages and Cultures di Universiti Indiana di AS.

– https://www.themalaysianinsight.com

.