SARAWAK TOLAK PANEL AUTONOMI PUTRAJAYA, HANYA BERURUSAN DENGAN TPM

SARAWAK tidak akan membincangkan isu hak dan autonomi dengan Jawatankuasa Teknikal Penurunan Kuasa yang ditubuhkan Putrajaya tahun lalu dan hanya akan berunding dengan timbalan perdana menteri atau menteri kanan,” kata Ketua Menteri Abang Johari Openg hari ini.

Katanya, pasukan khas peringkat tertinggi Sarawak ditubuhkan untuk berunding dengan Putrajaya berhubung isu penurunan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hanya akan berbuat demikian kepada pasukan yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi atau “mana-mana menteri kanan yang mempunyai kuasa”.

Jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan untuk memberi cadangan kepada Putrajaya mengenai bagaimana kuasa boleh diturunkan kepada Sarawak itu diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dan Menteri Luar Anifah Aman sebagai pengerusi bersama.

Rundingan itu berlarutan sejak penubuhan jawatankuasa berkenaan pada Jun lalu tanpa sebarang perkembangan berhubung cadangannya.

Abang Johari tidak menyebutnya, tetapi ia seolah-olah menyatakan secara tersirat Nancy dan Anifah tidak memiliki kuasa atau dalam jawatan berkaitan untuk membuat keputusan.

“Kami mencadangkan timbalan perdana menteri yang mengetuai pihak berkenaan. Nancy dan Anifah tidak boleh lakukannya,” katanya kepada pemberita pada akhir sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Jawatankuasa terbabit terdiri daripada wakil kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dan ahli sejarah dari dua negeri berkenaan.

Ia bagi mengenal pasti isu ketidakpatuhan dari konteks Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan, Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan laporan bertulis lain atau dokumen seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Jawatankuasa itu perlu memberi cadangan dan penyelesaian kepada kerajaan persekutuan untuk dipertimbangkan.

Pada Julai lalu, Anifah berkata jawatankuasa berkenaan akan mengadakan pertemuan buat kali terakhir dan selepas itu akan membentangkan cadangan terakhirnya.

Pada Oktober, tanpa sebarang perkembangan berhubung perkara itu, PKR Sarawak menuduh Putrajaya sengaja melengah-lengahkan dan tidak jujur dalam rundingan untuk menurunkan lebih kuasa kepada negeri.

Abang Johari juga berkata, pasukan khas negeri, yang mana pebnubuhannya diluluskan pada sidang dewan Khamis lalu, akan disertai semua timbalan ketua menteri – Douglas Uggah, James Masing, Abang Tengah Ali Hassan.

Mengenai bilakah Petronas perlu mendapatkan kesemua lesen dan pajakan yang perlu untuk meneroka dan melombong petroleum di negeri itu, Abang Johari berkata pasukan khas itu “akan menentukan mekanisma yang terbaik” selepas rundingan dengan kerajaan persekutuan.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.