SARAWAK SEDIA UNTUK AUTONOMI, WALAUPUN KERAJAAN BELUM LAGI

RAKYAT Sarawak semakin mendesak mahukan kuasa autonomi, walaupun jika hasil rundingan kerajaan negeri dengan Putrajaya tidak memberangsangkan.

Di Sarawak, bendera kerajaan Sarawak berkibar menjadi pemandangan biasa, di luar kedai kopi atau menghiasi kenderaan. Dan autonomi yang dulunya dibicarakan dalam diam, kini menjadi perdebatan terbuka di tempat awam.

Penyokong autonomi mengibarkan bendera merah dan hitam sebagai peringatan yang negeri Borneo itu wujud sebagai berdaulat pada 1841, lama sebelum Malaysia terbentuk.

Bendera itu juga mengingatkan ramai rakyat Sarawak hari ini untuk berjuang bagi mendapatkan kawalan lebih besar untuk masa depan sendiri, berhubung pelbagai isu, daripada pendidikan hinggalah agama.
Di peringkat bawahan, wujud desakan untuk keperluan untuk kerajaan negeri melawan terhadap apa yang dilihat sebagai campur tangan kerajaan pusat dalam hal ehwal di Sarawak.

“Kita perlukan lebih banyak ruang untuk buat keputusan dalam hidup kita. Dalam proses politik masa kini, suara kita diambil kira hanya sekali dalam tempoh lima tahun.

“Selepas kerajaan dipilih, rakyat kena tunggu lima tahun lagi jika mereka tidak suka dengan kerajaan itu,” kata Max Lee, pemimpin utama kumpulan pro autonomi, Sarawak for Sarawakians (S4S).

Tetapi bila Ketua Menteri Abang Johari Openg mengumumkan pada Sabtu, pasukan perundangan diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali akan dihantar ke UK untuk mengkaji Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi rujukan mengenai hak negeri, tindakan itu dicemuh wakil rakyat pembangkang, dan juga netizen.

“Gimik politik,” kata pengguna Facebook Molling Modon di laman The Borneo Post.

“Hak autonomi Sarawak di bawah MA63 terhakis pada 1976 di Parlimen. Sarawak diturunkan kepada hanya sebuah negeri bila Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan dipinda pada 1976.

“Dengan pindaan itu, Sarawak dan Sabah bukan lagi rakan kongsi setaraf dengan Malaya, tetapi diturunkan kepada negeri, status sama seperti 11 lagi negeri lain.”

Netizen memberi amaran kepada kerajaan negeri supaya tidak mengambil ringan sentimen pengundi, mengancam untuk menghukum kerajaan dalam pilihan raya umum (PRU) jika pemimpinnya tidak memperjuangkan autonomi secara serius.

“Sebagai rakyat Sarawak, saya tidak mahu dengar retorik saja. Saya hendak lihat keputusan dalam menuntut hak kami di bawah MA63,” kata pengguna Facebook, Crown Ozria.

“Jika tidak ada keputusan, jangan salahkan rakyat bila mereka tidak sokong BN dalam PRU,” katanya.

Ketua Aktiviti Selatan S4S Chan Chee Hiong berkata antara isu yang perlu dibincangkan segera dengan kerajaan persekutuan termasuk perkongsian pendapatan hasil cukai dan membenarkan GST di Sarawak dikutip kerajaan negeri, bukannya kerajaan persekutuan.

“Daripada bergantung pada dana diagihkan kerajaan persekutuan, GST jika dikutip Sarawak akan lebih cepat dan cara lebih berkesan untuk mengagihkan dana pembangunan dalam negeri,” katanya.

S4S mengadakan protes minggu lalu mendesak referendum untuk melindungi hak Sarawak, satu komitmen menghormati MA63, dan penyingkiran cukai pelancongan.

Dalam pengumumannya pada Sabtu, Abang Johari berkata kerajaan negeri akan meneruskan kerja dilakukan Adenan Satem dalam memperjuangkan hak lebih besar untuk Sarawak.

Bagaimanapun, Dr Kelvin Yii, pegawai khas kepada Pengerusi DAP negeri Chong Chieng Jen berkata BN ada kuasa untuk meratifikasi MA63 dan mengembalikan status hak di persekutuan, tetapi mereka kekurangan keinginan politik untuk berbuat demikian.

“Abang Johari mungkin sedar rundingan autonomi tidak akan berhasil.

“Itu mungkin sebabnya dia cuba mengalih perhatian termasuk dengan membuat pengumuman mengenai projek besar seperti LRT dan Internet lebih laju,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.