SANUSI JUNID: SEMUANYA SALAH LIM KIT SIANG

LIM Kit Siang tidak mencadang atau menyokong pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang membebankan rakyat jelata.

Lim tidak mencadang atau menyokong keputusan menghapuskan subsidi sehingga naik harga barang dan tol.

Lim tidak mencadang atau menyokong kenaikan harga minyak petrol dan diesel.

Lim tidak pernah bersetuju untuk menggunakan wang Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk melabur dalam perniagaan atau perusahaan yang tidak menguntungkan.

Lim tidak pernah dirundingi untuk menukar surat hak-milik tanah peneroka Felda yang sangat bernilai dan tidak turun harganya dengan sijil saham yang tidak menentu harganya dan kini harga sahamnya merudum turun kerana dilanda kerugian.

Lim tidak pernah menjadi perajurit dalam angkatan tentera dan tidak tahu menahu mengenai Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT); beliau tidak terlibat dalam keputusan menggunakan wang tabung LTAT untuk membiayai projek yang tidak menguntungkan.

Lim tidak pernah pinjam duit Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk berniaga atau sebagai biasiswa waktu beliau belajar; beliau juga tidak pernah merestui penyelewengan yang kini dikatakan berlaku dalam Mara.

Lim belum memeluk agama Islam dan beliau tidak pun tahu mengenai salah guna wang Lembaga Tabung Haji untuk pelaburan yang merugikan.

Lim, kerana belum memeluk agama Islam, tidak pernah membayar zakat itulah sebabnya dia tidak tahu bahawa pejabat agama mengadakan lawatan ke Paris sebagai salah satu acara dalam “kursus pernikahan”.

Lim bukan seorang Melayu/Bumiputera dan dia tidak merasa penderitaan, dan bukan sebab kepada penderitaan, maka biasiswa anak-anak Melayu dikurangkan jumlahnya oleh kerajaan.

Bukan Lim yang menamatkan khidmat peguam negara.

Bukan Lim yang menukar pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menyelidiki kes yang melibatkannya.

Bukan Lim yang mencadangkan dikenakan label rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) atas semua hasil penyelidikan atas sebarang salah laku dalam apa juga syarikat, badan dan agensi kerajaan.

Bukan Lim yang menghalang Bank Negara Malaysia daripada mengambil tindakan atas penyelewengan dalam institusi kewangan dalam dan luar negara.

Bukan Lim yang mencadang untuk membeli kapal selam Scorpene; dan bukan dia yang menyuruh Sirul dan rakannya untuk membunuh Altantuya.

Bukan Lim yang menyuruh SPRM untuk menyelidik dan tangkap perasuah-perasuah kecil supaya perasuah yang lebih hebat kelihatan tidak rasuah.

Bukan Lim yang mengarah media perdana supaya setiap hari mengutuk Dr Mahathir Mohamad walaupun beliaulah yang telah mengharumkan negara Malaysia di zaman pemerintahannya selama 22 tahun menjadi perdana menteri.

Lim tidak pernah terbabit dalam sebarang skandal seks.

Lim tidak pernah terlibat dalam sebarang skandal kewangan.

Lim tidak menjadi pengeluar filem lucah di Hollywood dengan memakan belanja wang yang disalurkan daripada syarikat milik negara.

Lim tidak pernah melabur wang negara yang dicurinya di Singapura, Hongkong, New Zealand, Switzerland, United Kingdom, Amerika Syarikat dan namanya tidak pernah disebut sebagai penjenayah dalam mana jua mahkamah di dunia.

Lim tidak pernah merancang untuk membawa 1.5 juta rakyat dari Bangladesh sehingga rakyat Bangladesh melebihi jumlah rakyat keturunan India yang ada dalam negara sekarang ini.

Lim juga bukan perancang untuk membenarkan ratusan ribu Cina dari negara Komunis China untuk membeli harta milik tetap (freehold) dan tinggal di negara ini.

Lim juga tidak boleh disalahkan jika harta-harta yang sangat bernilai seperti Lapangan Terbang Sungai Besi dijual kepada syarikat dari negara Komunis China.

Lim tidak boleh disalahkan jika kos pembangunan satu-satu projek, seperti keretapi di Pantai Timur dinaikkan harganya sehingga negara terhutang sejumlah yang sukar untuk dibayar daripada hasil projek berkenaan.

Lim tidak bertanggungjawab, malah tidak tahu menahu mengenai corporate exercise penubuhan 1Malaysia Development Berhad (1MDB); tidak pernah menjadi penasihat atau ahli lembaga pengarah, pegawai atau pekerja di 1MDB.

Oleh itu, salahkah Dr Mahathir untuk bergabung tenaga dengan Lim untuk sama-sama menentang penyelewengan, rasuah dan pengkhianatan kepada negara?

Salahkah Dr Mahathir untuk membetulkan kesilapannya kerana telah salah menanam budi dan memilih penggantinya yang beliau tidak sangka menjadikan negara dipandang hina seperti sekarang dan rakyat jelata menderita kerana beban hutang negara yang bertimbun dan tidak mungkin selesai dibayar oleh anak, cucu dan cicit kita semua.

– https://www.themalaysianinsight.com

.