Santiago: Penahanan Sidek macam gaya Gestapo

Kerajaan perlu berhenti menggunakan polis dan taktik ala Gestapo menyekat kebebasan bersuara dan mengganggu pembangkang, kata seorang ahli parlimen DAP mengulas penahanan awal pagi bekas wartawan Sidek Kamiso.

“Peristiwa ini seperti kejadian era Gestapo sebab kerajaan pimpinan Umno menggunakan polis untuk menyekat sebarang bentuk perbezaan pendapat dengan pentadbiran, menghalang kebebasan bersuara dan peruntukan penting lain dalam demokrasi.

“Kini kita boleh mengatakan Malaysia adalah sebuah negara polis. Dan ketika saya menyatakan solidariti dengan Sidek dan keluarganya, kita semua mesti bersatu melawan tataurus tidak bermoral ini,” kata ahli parlimen Klang Charles Santiago.

Beliau mengulas penahanan Sidek ekoran catatan di Twitter berhubung kematian Datuk Dr Haron Din.

Menurut isteri Sidek, Norlin Wan Musa, beberapa anggota polis berpakaian preman mendatangi rumah mereka pada awal pagi Isnin lalu untuk menahan bekas wartawan berkenaan.

Mereka juga tidak menunjukkan waran tangkap apabila diminta.

Kata Santiago, ia adalah satu daripada realiti yang perlu dihadapi rakyat Malaysia selain salah guna kuasa, amalan rasuah yang berleluasa serta skandal 1MDB.

“Ini adalah penyalahgunaan kuasa terang-terangan oleh polis. Ia hanya menunjukkan keangkuhan yang tinggi.

“Dalam bahasa mudah, polis berkelakuan seperti samseng yang bertentangan berbanding penjaga undang-undang,” katanya.

Santiago turut mempertikaikan mengapa keluarga Sidek tidak dimaklumkan di mana dia ditahan.

“Apa yang lebih mengejutkan ialah tweet Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memberi komen mengenai perbuatan samseng pegawainya,” kata MP terbabit. – M’kini

.