‘SANGAT MENYAKITKAN, SAYA DISEMBUR CECAIR’: UNGKAPAN TERAKHIR JONG-NAM

PETALING JAYA – “Sangat menyakitkan, sangat menyakitkan, saya disembur cecair”, ia merupakan kata-kata terakhir Kim Jong-nam sejurus sebelum beliau rebah selepas diracun dua wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Menurut China Press, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un berjalan kira-kira 15 minit ke kaunter perkhidmatan lapangan terbang bagi mendapatkan bantuan selepas diserang di aras empat dekat balai pelepasan pada Isnin lalu.

Memetik sumber polis, akhbar itu pada Jumaat melaporkan bahawa Jong-nam menyuarakan rasa sakit pada wajahnya semasa mengeluarkan ungkapan terakhir dalam bahasa Inggeris.

Beliau kemudiannya hanya mengerang kesakitan.
Kakitangan kaunter perkhidmatan memanggil polis bantuan untuk membantu membawa lelaki warga Korea Utara itu ke klinik di aras tiga lapangan terbang.

Bagaimanapun, beliau tidak sedarkan diri.

Doktor di klinik kemudian mengarahkan supaya Jong-nam dipindahkan ke Hospital Putrajaya berikutan keadaan yang dialaminya begitu serius.

Bagaimanapun, Jong-nam meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

– Mstar

.