SAMPAI ELAUN GURU PELATIH PUN KENA MANSUH, DUIT GST RM40 BILION SETAHUN PERGI MANA?

Perdana Menteri, Najib Razak selama ini begitu marah dan tersinggung   apabila ada dakwaan bahawa Malaysia di bawah kepimpinannya adalah negara yang gagal atau selalu disebut sedang menuju kepada bankrap.
Kata beliau, mana mungkin semua itu berlaku kerana asas ekonomi negara masih utuh, pertumbuhannya berkembang dengan baik dan Malaysia masih menjadi antara tumpuan pelabur asing.
Dengan Bank Negara meramalkan kadar pertumbuhan ekonomi antara 4.3 hingga 4.8 peratus, Kementerian Kewangan pula menjangka kadar KDNK tahun ini boleh mencecah 5.0 peratus, berbilion pelaburan daripada China mencurah datang di samping pelbagai penilaian lain yang bersifat positif, Najib selalu mengatakan andaian negara gagal itu bukan saja tidak benar, malah berniat jahat.
Dengan kata lain, berdasarkan semua gambaran itu, negara tentulah mempunyai banyak wang untuk dibelanjakan.
Puak-puak pembela Najib pup selalu menepis tanggapan negara gagal atau menuju bankrap itu dengan mengatakan McDonalds dan KFC selalu penuh, musim Hari Raya di Jalan Masjid India sesak seperti biasa, Tesco serta Mydin tetap dikunjungi ramai dan setiap kali musim perayaan, lebuhraya padat dengan kenderaan.
Lebih dari itu, kata mereka lagi,  Najib juga adalah pemimpin terbaik dalam menguruskan negara ini berbanding yang lain-lainnya.
Hehehehe…..lawaknya!!
Jika begitu, adakah berita terbaru yang mengatakan elaun untuk pelatih guru yang mengikuli latihan di IPG akan dimansuhkan pada tahun depan dan mereka diminta memohon pinjaman PTPTN, bukan satu lagi petanda bahawa negara kita tiada wang dan boleh ditakrif sebagai gagal?
Selain elaun yang akan dimansuhkan mulai tahun depan itu mengejutkan ramai ibu-bapa yang menghantar anak-anak mereka pada ke IPG pada minggu lalu,  elaun yang diterima untuk tahun ini iaitu tahun terakhir diberikan juga berkurangan menjadi RM430 saja sebulan berbanding RM650 sebulan sebelum ini.
Berapa sangat jumlah pelatih guru pada setiap tahun sehingga bebannya terasa sangat besar bagi kerajaan untuk menanggungnya sedangkan bakal-bakal guru ini memainkan peranan penting menyumbang dari segi pendidikan kepada anak bangsa?
Bukankah pelatih-pelatih guru itu apabila menamatkan pengajian, mereka akan terus berkhidmat dengan kerajaan sehingga pencen?
Jadi, apa masalahnya meneruskan pemberian elaun pengajian dan sara hidup seperti sebelum ini berbanding menghendaki mereka meminjam dengan PTPTN yang hanya menyebabkan mereka sudah  pun menanggung hutang sebelum menjejakkan kaki ke dunia pekerjaan?
Kenapa sebelum ini, elaun itu boleh diberikan, malah ketika era kepimpinan Tun Abdullah Badawi yang dikata paling lemah dan tidak tahu apa-apa itu pun, ia tidak pernah dihentikan?
Mana perginya semua wang dalam negara kita sekarang?
Siapa yang boros dan kuat berbelanja?
Mana juga perginya tambahan RM40 bilion setahun yang dikutip melalui GST sejak cukai itu diperkenalkan oleh Najib?
Kenapa sebelum adanya GST yang bermakna tiada tambahan RM40 bilion kepada negara, elaun pelatih guru sentiasa dapat diberikan?
Tidak cukup lagikah tambahan RM40 bilion itu serta wang berbilion-bilion lagi yang kononnya datang dari China untuk memakmurkan negara, yang sebahagian kecil penerimanya ialah bakal-bakal pendidik anak bangsa?
Kalau bukan negara gagal atau sedang menuju bankrap di bawah pimpinan Najib, gelaran apa lagi kita mahu panggil  kerajaan sekarang?
 

Kepada guru-guru, bakal guru, guru pencen, ibu-bapa kepada guru, ibu-bapa bakal guru, anak guru, menantu guru dan segala yang berkaitan dengan guru, inilah masanya untuk menukar kerajaan kerana hanya kerajaan baru nanti akan mengembalikan segala elaun dan kemudahan itu seperti yang biasa diterima sebelumnya.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.