SAMA ADA MAT TAIB DIRAIKAN BEGITU MERIAH ATAU 7 ADUN PKR IKUT MASUK UMNO BERSAMANYA, IA TETAP PELIK

Walaupun Muhammad Mohd Taib ketika ini sedang berada di London bersama keluarganya dan pemergiannya yang dilihat tergesa-gesa malam Ahad lalu iaitu hanya beberapa jam setelah disambut meriah untuk kembali semula ke pangkuan UMNO, pelbagai pihak masih bertelagah mengenai kemasukannya itu.
Di dalam UMNO sendiri, perbezaan itu cukup ketara menjadi perbualan di kalangan pemimpin dan ahli-ahlinya.
Satu pihak mempertahankan tindakan Najib Razak mengadakan sidang media khas itu semata-mata untuk menyambut Mat Taib seorang saja dengan alasan beliau adalah pemimpin kanan UMNO sebelum ini serta ada pengalaman sedikit sebanyak bersama Pas dan PKR.
Pengalaman itu,  bersama Mat Taib sendiri pernah menjadi Menteri Besar Selangor selama 11 tahun, dikatakan amat berguna untuk UMNO menawan kembali Selangor, meskipun hakikatnya beliau sudah menjadi pemimpin yang “expired”  dan tidak lagi berpengaruh.
Dikatakan juga, Najib memanggil semua Ahli MT UMNO untuk bersamanya menerima kemasukan Mat Taib  adalah untuk memperlihatkan persetujuan sebulat suara daripada pimpinan parti, suatu mesej tentang kebulatan hati dan permuafakatan yang jitu sebelum pilihanraya umum diadakan.
Satu pihak lain, hanya setelah Najib banyak ditertawakan lantaran sidang media khas itu dilihat tidak sepadan apabila Mat Taib seorang saja yang masuk UMNO, mula mempercayai ia sebenarnya berkaitan dengan tujuan menumbangkan kerajaan negeri Selangor.
Kata yang membawa cerita, tidak mungkin sidang media khas dengan semua Ahli MT dipaksa hadir hanya untuk menerima kemasukan Mat Taib semata-mata.
Lalu diberitakan bersama kemasukan Mat Taib itu kononnya ada 7 Adun PKR akan turut menyeberang yang akhirnya akan menyebabkan kerajaan negeri pimpinan Azmin Ali serta-merta tumbang.
Dikatakan juga 13 Adun Pas turut setuju dengan perancangan untuk mewujudkan kerajaan campuran di Selangor, malah menjadi bualan kononnya Hadi Awang pada petang Ahad itu sudah pun sedia menunggu di Pejabat Pas di Jalan Raja Laut, tidak jauh dari tempat sidang media Najib di PWTC di mana Presiden Pas itu didakwa akan segera pergi ke ibu pejabat UMNO untuk sama-sama Najib meraikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan di Selangor.
Perkara itu bagaimanapun dikatakan terhalang kerana ada campurtangan pihak-pihak berpengaruh di Selangor, lantaran Azmin dapat menghidunya dengan lebih awal.
Itulah sebabnya dikatakan 7 Adun berkenaan tidak muncul bersama Mat Taib di sidang media khas tersebut.
Bagaimanapun, semua itu tidak pernah disahkan kebenarannya dan ia kekal sebagai khabar angin sehingga ini.
Boleh jadi juga perkara itu sengaja direka untuk menutup malu Najib yang baru tersedar Mat Taib telah terlebih diberikan sambutan sehingga menjadikannya bahan ketawa dunia.
Hakikatnya, jika benar ada 7 Adun PKR mahu menyertai UMNO, adakah Mat Taib pemimpin yang benar-benar mampu menarik mereka untuk meninggalkan Azmin Ali?
Adakah Mat Taib punya hubungan rapat dengan mereka sebelum ini?
Tidakkah juga, jika  benar ketujuh-tujuh Adun berkenaan  akan menyertai UMNO, mereka itu sepatutnya dibawa bertemu Najib terlebih dahulu sebelum sidang media khas diadakan, diminta menandatangani surat perjanjian yang mungkin bersama sedikit cengkeman dan kemudian disembunyikan  di tempat tertentu agar tidak dapat dicari oleh sesiapa untuk tujuan memujuknya?
Kiranya semua perkara itu dilakukan, tentulah isu ketidakmunculan 7 Adun PKR itu di saat-saat akhir dapat dielakkan.
Namun, sama ada sidang media itu hanya untuk menerima kemasukan Mat Taib seorang saja atau bersama dengan 7 Adun PKR yang akan melompat parti, kedua-duanya adalah satu lagi perkara pelik yang telah dilakukan oleh Najib dalam tindakannya selama ini.
Mengadakan sidang media khas dengan kehadiran semua Ahli MT UMNO, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Menteri-Menteri hanya semata-mata untuk menyambut Mat Taib yang sudah “expired”, memang amat pelik, keterlaluan dan berlebih-lebihan.
Sebagaimana pernah ditulis dalam blog ini beberapa hari lalu, seseorang yang sudah tiga kali janda tidak harus diraikan macam dapat menikah dengan gadis jelita.
Mat Taib bukanlah lagi figura penting dan berpengaruh, jika matlamat menawan Selangor mahu diutamakan. Impak kemasukannya boleh dikata kosong kepada UMNO dan pengundi muda tidak tertarik sama-sekali dengan beliau, lebih-lebih lagi rekod lamanya ketika menjadi Menteri Besar Selangor banyak yang negatif berbanding positif.
Dalam pada itu,menumbangkan kerajaan Selangor melalui acara lompat katak 7 Adun PKR juga sebenarnya kelihatan pelik kerana tempoh perlunya diadakan pilihanraya umum sudah terlalu dekat.
Apa gunanya kerajaan negeri ditumbangkan sekarang jika beberapa bulan selepas itu terpaksa bertarung lagi untuk mengekalkannya?
Bukankah ia hanya membuang masa?
Tidakkah lebih memalukan jika setelah kerajaan negeri dapat ditumbangkan melalui pintu belakang, tetapi dalam pilihanraya umum nanti ia kembali semula kepada Pakatan Harapan?
Tentulah lebih bermanfaat jika Najib, UMNO dan BN menumpukan sepenuh perhatian, tenaga dan wangnya yang banyak itu kepada usaha menawan Selangor dalam pilihanraya umum saja.
Jika kedua-duanya, mengadakan sidang media khas untuk menerima Mat Taib seorang diri dan merancang kemasukan 7 Adun PKR yang tidak menjadi kenyataan tetap diaggap pelik, kenapa Najib melakukannya juga?
Sebenarnya Najib dan kepelikan memang tidak dapat dipisahkan. Sebagaimana beberapa perkara pelik yang dilakukannya sebelum ini seperti  wang RM2,600 juta dalam akuan peribadinya, membenarkan isterinya bebas menggunakan jet kerajaan tapi beliau sanggup naik kapalterbang komersial untuk pulang meninjau banjir di Pantai Timur tiga tahun lalu, melabel blogger yang menyokongnya sebagai bangang, peneroka Felda dikatanya haram jadah dan dua minggu baru-baru ini mahu menawarkan bantuan mengukuhkan ekonomi Amerika, apa yang dilakukan Najib Ahad lalu hanyalah satu lagi kesinambungan sikap peliknya saja.
Jika mahu dibariskan satu persatu, terlampau banyak perkara-perkara pelik yang dilakukan Najib selama ini. Berbuat atau bercakap pelik memang tidak dapat dipisahkan dengan dirinya.
Sementara kita  pelik kerana masih ada yang sanggup menyokong dan mempertahankannya, kita juga akan bertambah pelik jika beliau kekal lagi berkuasa selepas PRU 14 akan datang.

Malaysia tidak akan menjadi lebih baik di bawah kepimpinan Najib, tetapi akan terus menjadi negara yang pelik di mata dunia.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.