SALLEH MAN MASIH AHLI PAS

KEPALA BATAS – “Beliau masih lagi ahli Pas, tidak ada apa masalah, “itu antara reaksi Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd Fauzi Yusof mengenai status terkini Adun Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man.

Mohd Fauzi berkata Salleh Man masih lagi ahli Pas dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Adun dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

“Dia masih lagi ahli Pas, ianya tidak jadi masalah, masih lagi bagi sumbangan kepada kita.

“Dia pun tidak melakukan sebarang serangan, kenyataan dan sebagainya, kita anggapnya sebagai ahli Pas dan kita biarkan dia pegang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP),” katanya.
Katanya, soal Salleh Man yang masih memegang jawatan sebagai Yang Dipertua MAINPP, ianya bukan satu perkara baru.

“Kita semua sedia maklum di negeri ini bukan perkara baru, dulu semasa peralihan kerajaan negeri semasa kerajaan BN ke Pakatan Rakyat, masa tu Datuk Shabudin pegang, lepas itu ganti dengan Elias zakaria dan kemudian diganti dengan Datuk Salleh Man.

“Di Pulau Pinang ini ianya tak jadi perkara yang mengejutkan dan harus faham bahawa MAINPP di bawah Yang Dipertuan Agong,” katanya.

Menurutnya, apa yang menjadi keutamaan adalah khidmat kepada rakyat.

“Jadi keutamaan kita adalah khidmat kepada rakyat, kita tak boleh jadikan sebab kita putus tahaluf tidak bekerjasama dengan sesebuah parti ini kita mengorbankan rakyat.

“Cuma kerjasama dengan parti politik berkenaan saja yang tiada, tapi dari sudut pergaulan, kerjasama kepada rakyat, program-program,kita teruskan macam biasa,” katanya.

– SH

.