Salleh: Mahathir tolak Anwar jadi Perdana Menteri

KUALA LUMPUR  – Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan hasrat pakatan pembangkang untuk menjadikan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, bekas Perdana Menteri itu mengesahkan jangkaan banyak pihak bahawa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyid­din Yassin menjadi pilihannya untuk mengisi jawatan tertinggi pentadbiran negara jika pakatan pembangkang berkuasa.

Salleh berpandangan, Dr. Mahathir berbuat demikian untuk menangkis dakwaan yang menya­takan beliau mahu anaknya­, Datuk Seri Mukhriz menjadi Perdana Menteri.

“Jadi, tindakan menamakan Muhyiddin sebagai bakal Perdana Menteri membayangkan anaknya tidak akan mengambil alih jawatan berkenaan.

“Namun, itu tidak bermakna Mukhriz tidak boleh dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan pada masa sama, Muhyiddin menjadi Perdana Menteri sementara,” katanya dalam kenya­taan melalui laman blog beliau, http://sskeruak.blogspot.my, malam tadi.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PPBM telah menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 ketika berucap dalam satu majlis di London baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, cada­ngan Dr. Mahathir itu dibantah oleh pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang termasuk Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan Ketua Sekretariat pakatan pembangkang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang bertegas mahu Anwar menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tindakan Dr. Mahathir itu membuktikan beliau tidak dapat lari daripada menonjolkan sifatnya sebagai seorang diktator.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) memberitahu, pembangkang yang sememangnya dalam keadaan lemah akan menjadi semakin berpecah belah kerana Dr. Mahathir membuat keputusan tanpa berunding dengan sekutu-sekutunya.

“Saya yakin akhirnya masa depan PPBM akan menjadi bertambah pudar serta dipinggirkan oleh parti-parti pembangkang yang lain,” jelasnya.

Mohd. Puad menambah, Anwar juga tidak akan memberi ruang kepada Dr. Mahathir untuk memperalatkannya dengan mudah berikutan pengalaman pahit dipecat oleh bekas Perdana Menteri itu.
– UTUSAN

.