Salleh Keruak: BN sedia bertanding dalam pilihan raya

KUALA LUMPUR  – Barisan Nasional (BN) sedia untuk bertanding sekiranya pakatan pembangkang sebulat suara berhasrat ingin mengadakan pilihan raya mengejut di Selangor.
Salleh Said Keruak
Bagaimanapun, Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, pakatan pembangkang iaitu DAP dan PKR sendiri berbeza pendapat dalam hal tersebut sekali gus membuktikan mereka tidak selari dalam isu itu.

“Kami sentiasa bersedia untuk bertanding dalam pilihan raya di Selangor, tetapi sekarang mereka (pakatan pembangkang) tidak bersama dalam isu ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya kerajaan negeri Selangor mempertimbangkan pilihan raya awal bagi menghalang usaha BN untuk memenangi semula negeri tersebut.

Sementara itu, Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia memberitahu, dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini hanya Perdana Menteri yang akan memutuskan tarikh pilihan raya umum dan pembubaran Parlimen.

Tegasnya, berdasarkan ke­peribadian Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau yakin Perdana Menteri tidak akan sewenang-wenangnya menggunakan hak itu untuk mengadakan pilihan raya bagi mengambil kesempatan terhadap situasi yang melanda parti pembangkang ketika ini.

“Fokus utama kerajaan adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat, banyak agenda yang perlu dilaksanakan. Kami (Jemaah Menteri) ketika ini menunggu Bajet 2017 malah Perdana Menteri juga sedang fokus terhadap perkara tersebut.

“Walau bagaimanapun, sekiranya beliau (Perdana Menteri) mengumumkan pilihan raya, kami telah bersedia sepenuhnya malah kami yakin majoriti menyokong BN dan mereka mahukan kestabilan negara diteruskan tanpa campur tangan orang luar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Salleh yang juga Ahli Parlimen Kota Belud menegaskan, UMNO Sabah juga bersedia untuk berdepan dengan saingan daripada parti yang dijenamakan semula oleh bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, seiring dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, UMNO dan BN sentiasa mengalu-alukan parti baharu untuk bersaing secara sihat kerana akhirnya rakyat yang akan membuat keputusan.

“Sehingga hari ini kita melihat UMNO Sabah masih kukuh dan tidak menghadapi sebarang masalah yang besar kerana kita yakin rakyat akan kekal bersama dengan parti ini, malah telah terbukti matlamat UMNO dikembangkan di Sabah adalah untuk menentukan kestabilan politik dan memastikan pembangunan di Sabah terus rancak serta berterusan,” katanya.
– UTUSAN

.