SALAHUDDIN: RUU355 PERLU DIBAHAS DI PARLIMEN TERLEBIH DAHULU

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) tetap dengan pendirian mereka agar isu berkenaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, (RUU 355) perlu dibahaskan di Parlimen terlebih dahulu sebelum di bawa peringkat lebih tinggi.

Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya telah membuat beberapa cadangan yang konstruktif sebelum ini melalui Parlimen bagi memperkasakan RUU355 dalam usaha untuk menggelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

“Ini adalah kerana jika tersalah cara, ia boleh timbulkan kekeliruan khususnya kepada golongan bukan Islam.
“Sebab itu Amanah ambil pendirian untuk biar ia dibahas di Parlimen terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian.

Salahuddin berkata demikian bagi mengulas mengenai pengumuman yang dibuat oleh Pas melalui Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memaklumkan bahawa parti Islam itu bakal menganjurkan Himpunan 355 pada 18 Februari ini sebagai solidariti sokongan terhadap usaha pindaan tersebut.

Selain itu, Pas juga mengesahkan akan menghantar undangan khas kepada semua parti politik termasuk Amanah dan DAP bagi mengajak pihak berkenaan turut sama menyertai himpunan itu.

Ketika diminta mengulas mengenai jemputan khas berkenaan, Salahuddin menjelaskan bahawa pihaknya tidak dapat membuat sebarang keputusan sehingga menerima undangan tersebut secara rasmi.

“Kita (Amanah) masih tunggu dulu hitam putih dari Pas dan lepas itu baru kita akan buat keputusan sama ada untuk hadir atau pun tidak,” katanya.

– http://www.sinarharian.com.my/

.