SALAHKAH ‘MENGALUKAN’ KEDATANGAN NAJIB, SOAL PEMUDA PKR

PEMUDA PKR mempersoalkan penahanan ahlinya yang berkumpul pagi ini di luar Politeknik Seberang Prai untuk “mengalukan” kedatangan Perdana Menteri Najib Razak.

Najib dalam lawatan sehari ke Pulau Pinang. Salah satu majlis yang dihadirinya berlangsung di kampus itu untuk menyertai ratusan rakyat dalam acara kenduri rakyat.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin berkata yang beliau dimaklumkan 31 orang ditahan pagi ini selepas mereka berkumpul di jalan menunggu ketibaan Najib.

“Saya rasa ini lah cara rakyat mengalukan kedatangan perdana menteri yang datang ke kawasan mereka. Mengapa pula mereka ditahan?

“Mereka berkumpul dengan aman. Mereka tak cuba buat apa-apa. Tiada pergaduhan. Mereka ditahan sebelum ketibaan PM jadi bagaimana mereka (polis) tahu yang kami tak bawa kompang?

‘Bukankah mereka pun rakyat negara ini?” katanya ketika dihubungi.

Dilaporkan yang Pemuda PKR Pulau Pinang menganjurkan himpuan mengejut itu sempena lawatan Najib ke majlis yang diadakan di kampus tersebut.

Antara yang ditahan polis ialah Ketua PKR Pulau Pinang Asril Sani Abdul Razak dan Ahli Jawatankuasa Majlis Perbandaran Seberang Prai Ong Jing Cheng.

Sebelum himpunan mengejut itu diadakan, mereka meletakkan sepanduk di sekitar kawasan mendesak pembebasan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim yang merupakan bekas ahli Parlimen Permatang Pauh yang kini merengkok dalam penjara Sungai Buloh.

Permatang Pauh adalah kubu kuat PKR. Kerusi itu kini dipegang Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga merupakan isteri Anwar.

Dr Afif yang merupakan ketua perhubungan Pemuda Pakatan Harapan berada di Balai Polis Seberang Prai Tengah di Bandar Perda, Bukit Mertajam di mana ahli Pemuda PKR itu sedang ditahan.

Katanya, semua yang ditahan berada dalam keadaan baik dan sudah disoal siasat oleh polis, dan peguam PKR dalam perjalanan ke situ untuk bagi memberikan bantuan guaman.

“Kami perlu tahu bawah undang-undang apa polis tahan mereka. Adakah mengalukan kedatangan PM satu kesalahan?

“Budak PKR bukan budak Umno. Mereka tu (Umno) sanggup rempuh masuk Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Dr Afif merujuk kepada kejadian yang berlaku pada 2015 apabila sekumpulan lelaki termasuk beberapa ahli Umno merempuh masuk pagar Dewan Undangan Negeri bagi melakukan bantahan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, R S N Rayer dari DAP yang mengeluarkan kenyataan berbunyi “celaka Umno.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.