SAIFUL BUKHARI MUNCUL SEMULA, LANCAR SERANGAN PADA DR MAHATHIR

INDIVIDU yang mendakwa diliwat oleh bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim muncul kembali ke persada politik dengan melancarkan serangan kepada pemimpin pembangkang Dr Mahathir Mohamad.

Dalam kenyataannya, Mohd Saiful Bukhari Azlan menyelar Mahathir yang kini sanggup menuntut agar Anwar dibebaskan dari penjara.

“Kuasa dan cita-cita membutakan matanya dari melihat fakta kes jenayah ini,” kata Mohd Saiful lagi.

Walhal, Mahathir sebelum ini bersimpati padanya berhubung tuduhan bahawa Anwar meliwatnya, dakwanya di Facebook.

“Pada Oktober 2014, Dr Mahathir menyatakan simpati pada saya (dan menganggap) saya seorang mangsa apabila saya melawat beliau di pejabat Yayasan Perdana bersama isteri saya dan anak yang baru lahir.

“Memang benarlah dalam politik, tiada teman atau seteru yang akan kekal, hanya kepentingan,” katanya.

Tambahnya, beliau kecewa kerana Dr Mahathir kini mempolitikkan kes liwat tersebut yang telahpun diputuskan oleh makhamah.

“Saya menggesa beliau agar menghormati keputusan mahkamah. Sebagai bekas perdana menteri, Dr Mahathir patut lebih tahu.“Saya adalah mangsa sebenar tindakan jenayah Anwar Ibrahim,” tegasnya.

Anwar dipenjarakan pada tahun 2015 selepas disabitkan kesalahan meliwat Mohd Saiful.

Saiful Bukhari lama menyepi dari perhatian media. Kali terakhir, beliau dan isterinya, Nik Suryani Megat Deraman, muncul di perhimpunan agung Umno pada tahun lalu.

Pasangan tersebut, yang mendakwa sebagai perunding media dan politik itu membuka gerai menjual baju wanita dan aksesori di ruang premis Pusat Dagangan Dunia Putra pada waktu itu.

Saiful Bukhari mendakwa pelanggan kepada firma perundingannya itu terdiri daripada lebih 20 orang ahli parlimen dari parti kerajaan dan pembangkang.

– https://www.themalaysianinsight.com

.