SAIFUL, BEKAS PEMBANTU PERIBADI ANWAR, KINI USAHAWAN MUDA

SAIFUL Bukhari Azlan kini bergelar usahawan muda apabila memiliki salah sebuah gerai yang dibuka sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

“Sudah lapan tahun berlalu sejak saya membuat laporan polis (terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim). Saya amat gembira untuk melangkah ke hadapan,” katanya.

Saiful yang merupakan bekas pembantu peribadi Anwar membuat laporan polis mendakwa diliwat bekas ketua pembangkang itu pada 29 Jun 2008.

Saiful dan isterinya, Nik Suryani Megat Deraman merupakan rakan kongsi di Nang Surya, perniagaan menjual pakaian wanita, beg, aksesori, batik dan songket.

“Keputusan untuk membuka kedai di sini berlaku di saat akhir.

“Ada seseorang telah menarik diri, jadi kami hanya diberi notis selama lima hari untuk mengumpul produk dari Terengganu,” katanya.

Nang Surya berpangkalan di Terengganu dengan memiliki sebuah kedai di negeri itu dan juga kedai secara dalam talian yang akan memenuhi permintaan dari dalam mahupun luar negara.

Saiful, 30, berkata kesemua songket dan batik di Nang Surya mempunyai keunikan tersendiri.

Bekas penyampai berita TV3, Nik Suryani, 36, berkata batik dan songket tradisional mula diperkenalkan kepada Nang Surya pada awal tahun ini.

“Saya mula menjual beg tangan dan blazer.

“Sebagai seorang penyampai berita, saya suka memakai blazer yang kemas. Saya juga mahu mereka blazer dengan corak cetakan kenyataan.

Nik Suryani berkata dia meninggalkan industri media selepas 15 tahun kerana ingin mencuba sesuatu yang baharu.

“Saya sentiasa gemarkan beg tangan dan fesyen, dan suami saya menggalakkan saya untuk meneruskannya dalam bentuk perniagaan,” katanya.

Selain daripada perniagaan fesyen, pasangan itu turut mempunyai sebuah firma perunding media dan politik.

Saiful dan Nik Suryani mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun.

Mereka dijangka menimang anak kedua pada Mac tahun depan.

MSTAR

.