SAIFUDDIN: ‘DULU PAS LANTIK SAYA, TAK JADI PERTIKAIAN PUN’

SHAH ALAM – Pelantikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak seharusnya menjadi pertikaian seperti yang dibangkitkan oleh lidah rasmi Pas, Harakah Daily.

Mengulas mengenai perkara itu, Saifuddin berkata, beliau pernah dilantik oleh Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai Ketua Tabung Amanah Tok Kenali sebelum ini.

Namun katanya, ketika itu tiada sebarang pertikaian daripada ahli Pas walaupun beliau daripada parti lain.

“Allahyarham Nik Aziz sangat maklum saya pemimpin PKR, tetapi melantik saya sebagai ketua GLC tersebut. Beliau melantik saya kerana berasakan saya ada pengalaman, boleh membantu GLC Kelantan dan memberi kepercayaan kepada saya.

“Jadi apa yang Guan Eng buat dengan melantik saya (Penasihat Strategik Ketua Menteri) itu adalah perkara yang telah pun Pas buat ketika melantik saya menyandang jawatan itu selama tiga tahun dari 2004 hingga 2007.

“Adakah ketika Guan Eng melantik saya, itu dikatakan ‘dedak’ dan waktu Pas pula bukan dedak. Itu tidak betul,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam artikel yang dikeluarkan oleh lidah rasmi Pas itu, menyifatkan pelantikan Saifuddin sebagai ‘dedak’ oleh DAP bagi mengikat PKR.

Keputusan melantik Saifuddin juga dikatakan sebagai usaha DAP menyekat sebarang kerjasama PKR dengan Pas.

Saifuddin dilantik secara rasmi pada Rabu lalu dan pelantikannya itu mendapat kelulusan Biro Politik PKR Pusat bagi mengukuhkan Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Menurut Saifuddin, jika isu melantik bukan dalam kalangan ahli parti itu dianggap sebagai salah, dedak atau sebagainya, maka amalan itu telah dibuat oleh Pas terlebih dahulu.

– SH

.