SAHAM FGV SUSUT 4.94% SUSULAN PELUPUSAN KWSP

Harga saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) susut 4.94 peratus pada tengah hari hari ini, berikutan pengumuman oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahawa ia tidak lagi mempunyai sebarang kepentingan dalam syarikat itu.

Pada jam 12.30 tengah hari, saham FGV susut lapan sen kepada RM1.54 dengan 6.98 juta saham bertukar tangan. Saham berlegar antara harga RM1.54 dan RM1.60 sepanjang sesi pagi.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, mereka menghormati pandangan pemegang sahamnya dan menyedari mengenai hak mereka untuk membeli atau menjual saham mengikut keutamaan pelaburan mereka.

Katanya, FGV akan terus menumpukan kepada perniagaan terasnya, meningkatkan produktiviti aset sedia ada dan menjual aset bukan teras untuk memberi pulangan kepada pemegang sahamnya.

“Kami akan terus melakukan ini selain mematuhi prosedur tadbir urus yang berkaitan secara telus dan bertanggungjawab.

“Kami teguh dengan komitmen kami untuk membuka potensi penuh kami dan membawa nilai kepada pemegang saham FGV,” katanya dalam kenyataan hari ini, sebagai respons kepada langkah yang diambil oleh KWSP untuk melepaskan pegangan sahamnya dalam FGV.

Khamis lalu, dana persaraan itu berkata ia tidak lagi memegang apa-apa kepentingan saham dalam FGV memandangkan ia memberi jaminan kepada ahlinya bahawa ia mengamalkan tahap piawaian tadbir urus korporat yang tinggi menerusi dasar yang teguh pada kawalan risiko dan peruntukan aset strategik.

KWSP berkata ia memantau prestasi ekuiti FGV sejak beberapa tahun dan secara beransur-ansur menjual pegangan sahamnya dalam kumpulan itu.
Dana persaraan itu turut mengesahkan pinjaman RM6.5 bilion yang diambil oleh Felda Holdings Bhd tidak mempunyai sebarang tunggakan dan meneruskan pinjaman mengikut terma dan syarat yang dipersetujui.

Zakaria berkata FGV akan terus berurusan dengan KWSP dan komuniti pelabur untuk memaklumkan perkembangan terkini mengenai kemajuan perniagaannya.

“Kami bersama KWSP menggesa pihak berkepentingan kami dan orang ramai pada umumnya, untuk merujuk soalan mereka secara terus kepada organisasi yang berkenaan dan tidak dikelirukan oleh media sosial dan sumber dalam talian tidak berasas,” katanya.

– M’kini

.