SAH KHALID TAK PILIH PAS

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, menamatkan khabar angin bahawa beliau akan menjadi wakil rakyat PAS selepas ini.

Berucap di program Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, sebentar tadi Khalid berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik.

Bagaimanapun anggota parlimen Bandar Tun Razak itu menegaskan beliau akan menyokong perjuangan yang dibawa PAS.

“Saya teruskan usaha saya walaupun saya bercadang untuk tidak menyertai parti politik.

“Oleh kerana saya nak bekerjasama demi kebajikan orang miskin, saya takkan sertai parti,” katanya.

Sementara itu kehadiran Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan menambah kehangatan Fastaqim 2.0 dengan ucapan bersemangatnya mengecam kerajaan Pulau Pinang yang diketuai Lim Guan Eng.

Menurut Huan, jika program Fastaqim 2.0 itu dibuat di Pulau Mutiara, Lim “pasti terkencing” melihat kehadiran penyokong PAS.

“Ini malam 200,000, kalau buat di Pulau Pinang, Lim Guan Eng sudah terkencing.

“Selama sembilan tahun perintah, bagi saya apa pun dia tak pernah buat. Janji tingga janji,” katanya yang diberi peluang bercakap selama kira-kira lima minit.

Minta suami beli lain

Bekas pemimpin Gerakan itu jika Pulau Pinang kekal di bawah DAP untuk dua penggal lagi “rumput” di negeri itu pun akan terjual.

“Kampung-kampung Melayu semakin hilang (sebab) dibina kondomunium mewah. Ia bukan kediaman mampu milik tetapi rumah mampu tengok.

“Dua penggal lagi, rumput pun dia jual. Tinggal pasir saja, itulah DAP,” katanya.

Huan (gambar) juga memuji PAS yang dianggapnya terlalu jauh di depan berbanding PAS.

“Pada pendapat saya PAS bukan 100 peratus, tetapi 1,000 peratus lebih baik daripada DAP. Kerana apa? Rasuah. Pemimpin DAP pernah diheret ke mahkamah kerana rasuah tapi PAS tak ada,” katanya.

Di sela ceramah penganjur mengumumkan seorang penyokong PAS sanggup menyerahkan seutas rantai difahamkan emas sebagai derma kepada parti itu.

Perkara itu diumumkan Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, yang juga pengerusi majlis malam malam ini.

Anggota Parlimen Temerloh itu bagaimanapun tidak mendedahkan identiti wanita tersebut.

“Malam ini ada seorang muslimat PAS dermakan seutas rantai sebagai sumbangannya kepada parti.

“Saya harap kita dapat 50 utas rantai pada malam ini. Tak apa, lepas balik nanti minta suami beli yang lain,” katanya berjenaka.

Tambah Nasrudin, PAS menyasarkan derma sebanyak RM200,000 daripada penyokong yang hadir.

Untuk rekod, “derma jihad” beruba barang kemas bukanlah sesuatu yang aneh dalam ceramah PAS.

Sebelum ini pun parti itu pernah menerima sumbangan dalam pelbagai bentuk selain wang tunai.

– M’kini

.