SADDIQ DIUGUT, TERIMA BEBERAPA KEPING GAMBAR ‘SENSITIF’

PETALING – Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa berterusan diugut kumpulan rangkaian dedak, dan terbaharu awal pagi tadi.

Dakwa Syed Saddiq, selepas sidang media yang dibuat Isnin, beliau tidak dihubungi rangkaian dedak berkenaan, sehinggalah ugutan terbaharu yang diterimanya awal pagi semalam dalam beberapa keping gambar.

“Pada jam 1.30 pagi tadi (semalam) saya terima beberapa keping gambar yang agak sensitif berbentuk ugutan. Ia tidak dihantar melalui emel atau telefon tetapi melalui ‘particular app’,  Anda tahu sendirilah. Sebelum ini hanya ayah dan abang saya yang diugut tetapi semalam mereka ugut saya pula.

“Saya tidak boleh dedahkan semua perkara (jenis ugutan) itu kerana terlalu sensitif. Ia bukan ugutan bunuh atau pukul tetapi menyerang isu peribadi untuk menggertak saya dan keluarga agar berhenti mendedahkan perkara yang ada kena mengena dengan pihak di sebelah sana, ” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu, hari ini.

Dakwa Syed Saddiq ugutan itu dipercayai dihantar kumpulan rangkaian yang sama berdasarkan modus operandi mereka sebelum ini.

Syed Saddiq berkata, beliau turut dinasihatkan polis agar tidak mendedahkan butiran terperinci kerana masih dalam siasatan.

Susulan ugutan tersebut juga laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya. Beliau juga dipanggil memberi keterangan malam tadi.

“Saya percaya ia (ugutan) dilakukan kerana saya tidak mengikut arahan mereka supaya saya ke luar negara dan meninggalkan parti. Jika saya pergi (sambung pelajaran) ke Universiti Oxford barulah saya akan dibayar dan diberi manfaat lain-lain.

“Kalau mereka ingat taktik yang begitu jijik ini akan menakutkan saya mereka salah. Saya tetap akan bertindak. Selepas membuat laporan polis hari ini (semalam) akan ada tindakan susulan termasuk laporan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Tidak mungkin saya mahu maruah diri saya hilang (kerana isu ini),” katanya.

Syed Saddiq sekali lagi mencabar dalang disebalik rangkaian dedak itu tampil menafikan segala dakwaan dan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

“Saya hairan kenapa bekas pemimpin Bersatu yang bangkit menafikan isu bukannya pihak yang menawarkan wang itu sedangkan saya sudah menyatakan dengan jelas siapakah beliau.

“Individu yang dekat dengan ‘Putrajaya’ itulah yang sepatutnya buat laporan polis dan bukan bekas pemimpian parti,” katanya.

Beliau juga mencabar bekas pengasas parti mengambil tindakan undang-undang terhadap dirinya untuk menafikan mereka juga ditawarkan sejumlah wang untuk meninggalkan parti.

“Saya sudah jelaskan dalam sidang media Isnin lalu saya cakap, terdapat beberapa pengasas parti menerima tawaran, tetapi tidak pasti berapa yang ditawarkan dan adakah mereka menerimanya.

“Dia (Hamidah) bukan sahaja beritahu saya, tetapi pucuk kepimpinan tertinggi parti. Malah dalam ceramahnya dia sendiri mendedahkan bahawa dia ada terima tawaran.Saya pelik mengapa mereka ini buat laporan polis dan SPRM dan bukannya dalang sebenarnya yang ambil tindakan,” katanya.

– http://www.sinarharian.com.my

.