‘SABARLAH, ANWAR AKAN DIBEBASKAN TIDAK LAMA LAGI’ – NUR JAZLAN

KUALA LUMPUR – “Sabarlah Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan tidak lama lagi.

Demikian menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika mengulas mengenai desakan keluarga, pemimpin pembangkang dan penyokong yang mahukan ketua umum Pakatan Harapan itu dibebaskan segera.

“Saya hairan kenapa mereka masih memperjuangkan pembebasan Anwar. Anwar dijatuhkan hukuman penjara bagi kesalahan jenayah.

 “Mungkin mereka ini bimbang, bahawa Pakatan Harapan tidak mempunyai pemimpin calon perdana menteri. Sebab itu mereka hendak Anwar dibebaskan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Katanya, Anwar tetap akan dibebaskan seperti biasa sebaik selesai menjalani hukuman penjara pada pertengahan tahun depan.

“Kerajaan akan bebaskan Anwar. Sabarlah. Kalau (pembebasan Anwar) soal kesihatan Anwar, kita jaga Anwar sudah lima tahun. Tiada ada apa-apa yang berlaku.

“Anwar tidak menghadapi masalah kesihatan yang membahayakan. Beliau sudah dibedah dan sedang menjalani proses pemulihan. Jadi tidak perlu risau masalah keselamatan beliau,” katanya.

Pada masa sama, Nur Jazlan turut mempersoalkan pelantikan peguam persendirian dari Amerika Syarikat (AS) Kimberly Montley.

“Adakah Kimberly dilantik oleh Anwar? Saya tidak pernah mendengar Anwar atau keluarganya menyatakan Kimberly peguam lantikan beliau yang dilantik untuk membela dia.

“Lagi satu, Kimberly ini ada lesen peguam di Malaysia? Kalau tiada lesen peguam di Malaysia, beliau tiada hak mempersoalkan sistem perundangan dan penjara Malaysia,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, dalam kenyataan bersama Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kimberly menuntut Anwar diberikan keadilan kerana kesihatan semakin membimbangkan.

Mereka juga mendakwa bahawa Anwar seorang tahanan politik dan telah menjalani hukuman penjara lebih 34 bulan.

Anwar dijadualkan dibebaskan pada Jun 2018.

– http://www.sinarharian.com.my/

.