SABAR SAYA HILANG BILA KELUARGA TERANCAM, KATA SYED SADDIQ

UGUTAN terhadap keluarganya membuatkan Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman tidak dapat bertahan lagi hingga menyebabkan beliau mendedahkan mengenai tawaran wang yang diberikan kepadanya untuk ke luar negara menjelang pilihan raya umum ke-14.

Beliau enggan memperincikan ugutan itu dan menekankan ia tidak membabitkan sebarang perkara terlarang membabitkan ahli keluarganya, tetapi berkata ia akan melukakan mereka.

Tahu yang beliau akan mengundang lebih banyak musuh, ahli pengasas Bersatu berusia 25 tahun itu membuat keputusan mendedahkan mengenai tawaran RM5 juta kepadanya untuk menyambung pengajian di Universiti Oxford, di mana beliau mendakwa ia dibuat oleh pegawai kanan Perdana Menteri Najib Razak.

“Saya ada cakap sebelum ini yang mereka akan cuba lakukan seperti menyasarkan orang terdekat (ahli keluarga) saya. Kerana mereka tahu wang tidak boleh mengubah pendirian saya,” katanya dalam satu temubual dengan The Malaysian Insight semalam.

“Tapi ia lebih kepada ugutan pada ahli keluarga, ibu bapa atau abang saya. Tapi itu tidak bermakna keluarga saya membuat perkara salah atau jenayah. Ia sesuatu yang bersifat peribadi.”

Syed Saddiq berkata jika pihak yang memberi sogokan itu bertindak mendedahkan hal tersebut ia akan menjejaskan nama baik keluarganya.

“Ia bukan hal saya tidur dengan sesiapa (skandal seks) namun lebih kepada ancaman terhadap keluarga saya. Kalau mereka lakukan, dan mungkin akan lakukan saya akan hancurkan hidup mereka,” katanya.

Pada masa sama, Syed Saddiq menjelaskan mengapa beliau tidak melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disogok dengan wang RM5 juta untuk menyambung pelajarannya ke Universiti Oxford itu.

Meskipun tawaran itu tidak menyalahi undang-undang namun Syed Saddiq mendakwa beliau memiliki rakaman audio dan bukti lain dan ia akan didedahkan jika dirinya dan ahli keluarga diancam.

Pada sidang media semalam, Syed Saddiq berkata beliau ditawarkan wang RM5 juta untuk meneruskan pengajiannya di Universiti Oxford.

Sebagai balasan beliau perlu mengikut arahan untuk membaca skrip mengkritik Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

Malah beliau berkata terpaksa untuk berpura-pura menerima tawaran tersebut agar pendedahan mengenai sogokan itu dapat dilakukan.

Bukan saja diberikan skrip untuk dibacakan pada sidang media tersebut, Syed berkata lokasi sidang media di Hotel Seri Pan Pacific juga dipilih oleh pihak terbabit.

“Saya terpaksa membayar menggunakan wang saya dulu sebanyak RM1,800 sejam untuk menggunakan bilik ini. Sebab untuk meyakinkan mereka saya serius melakukan sidang media tersebut.

“Saya terfikir sampai mana lagi yang boleh mereka lakukan untuk menghancurkan keluarga saya bagi mencapai agenda politik mereka,” katanya.

Syed Saddiq juga tidak takut dengan akibat yang bakal diterima kerana katanya beliau tidak boleh hidup dalam ketakutan.

“Saya ada juga buat langkah berjaga-jaga seperti tidak berjalan berseorangan dan ditemani rakan tapi saya sedia menerima sebarang akibatnya.

“Kita tidak boleh hidup dalam ketakutan selamanya.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.