SABAR NAJIB MACAM NABI AYUB, USIK SUBKY

Bekas wartawan veteran yang disegani, Subky Latif, berkata tidak pernah ada sebarang tuduhan atau sangkaan yang lebih buruk pernah dihadapkan kepada kerajaan negara ini melebihi skandal 1MDB.

Kata Subky mengikut kelaziman, seseorang pemimpin negara akan bingkas melenting mempertahankan diri dan membersihkan nama kerajaan apabila dikaitkan dengan tuduhan walaupun lebih kecil berbanding isu syarikat pelaburan milik Malaysia itu.

Bagaimanapun katanya, Datuk Seri Najib Razak kelihatan menunjukkan kesabaran yang luar biasa.

“Tetapi Najib seolah-olah menunjukkan sabarnya – diam, tenang macam mengalahkan sabar Nabi Ayub,” katanya dalam tulisan terbaru beliau disiarkan Harakahdaily.

Menurut bekas anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu semua nabi memang memiliki kesabaran yang sangat tinggi namun secara bandingan sifat sabar yang ada pada Nabi Ayub mengatasi utusan lain diturunkan Allah.

“Dekat macam itu sabarnya Najib,” kata Subky secara sinis.

Banyak cabaran

Skandal 1MDB menjadi satu daripada isu utama digunakan pembangkang untuk menyerang kepimpinan kerajaan Najib ketika ini.

Ia bukan saja menjadi bahan untuk pembangkang malah turut meresahkan penyokong kerajaan.

Skandal yang dikaitkan dengan perdana menteri itu turut membuat beberapa pemimpin kanan Umno ‘terpelanting’ dari parti berkenaan, seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Secara kebetulan pula, kebiasaannya bekas pemimpin Umno yang meninggalkan parti itu berdepan dengan banyak cabaran termasuk disiasat pihak berkuasa seperti dialami Shafie.

Kenyataan Subky itu juga dilihat menarik kerana PAS sendiri agak jarang mengeluarkan kenyataan keras terhadap Najib dalam isu 1MDB.

Pada 7 Ogos lalu PAS menyatakan parti itu berpuas hati dengan pelan rasionalisasi dijalankan 1MDB selepas mereka mendengar penjelasan daripada ketua pegawai eksekutif syarikat terbabit, Arul Kanda Kandasamy.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan parti terbabit berharap isu seumpama itu perlu dipantau parlimen.

“Maknanya, Kementerian Kewangan dan menteri perlu memberi laporan kepada parlimen supaya anggota parlimen dapat mengikuti setiap perkembangan dan tidak timbul masalah baru,” katanya.

Menurut Subky yang terkenal dengan penulisan menyindir, isu 1MDB bukan saja diriuhkan oleh pembangkang malah kerajaan AS turut “terharu” dengan “jenayah” yang dikatakan berlaku di negara berkenaan.

Tidak lakukan kesalahan

Di negara ini, kata Subky, kerajaan menubuhkan pasukan siasatan khas yang dianggotai Tan Sri Abdul Gani Patail yang menjadi peguam negara ketika itu, Tan Sri Abu Kassim Mohamed (Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (Gabenor Bank Negara) dan Tan Sri Khalid Abu Bakar (Ketua Polis Negara).

“(Sekarang) seekor pun sudah tiada di jawatan masing-masing.

“Najib terus tercegat macam patung di lapangan. Begitulah dia tidak kisah ditimpa hujan lebat dan panah terik matahari,” tulis Subky.

Selepas bertahun-tahun isu 1MDB diperkatakan, kata Subky, kerajaan kemudian menegaskan bahawa seorang daripada individu utama dikaitkan dengan syarikat itu – Jho Low – sebenarnya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Katanya kerajaan seperti memberitahu orang ramai bahawa Jho Low sengaja diburuk-burukkan.

“Jika bayi adalah bersih, dia (Jho Low) lebih bersih daripada bayi. Jika salji itu putih, ia lebih putih daripada salji,” katanya.

Pendirian itu menurut Subky seolah-olah menampakkan semua pihak yang memperkatakan 1MDB sebagai “bodoh” termasuk Jabatan Keadilan AS.

Memberikan contoh, Subky berkata, orang Islam diajar bahawa kematian itu memang mesti terjadi, soalan malaikat Munkar dan Nakir, syurga dan neraka memang wujud tetapi tiba-tiba dikatakan bahawa ia tidak wujud.

“Tidakkah gila sekalian dengannya?

“Mungkin begitulah reaksi semua apabila Jho Low dikatakan bersih.

“Adakah perdana menteri kita itu orang betul atau patung kaku ditimpa hujan dan dijemuri panas terik dan teruk? ” katanya.

– M’kini

.