RUU355: TIADA IMPLIKASI KEWANGAN JIKA DILAKSANA – JAMIL KHIR

KUALA LUMPUR – Rang undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) tidak akan memberi implikasi kewangan kepada kerajaan jika usul tersebut dipertimbangkan dan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Demikian jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam jawapan bertulis kepada soalan lisan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah – Parit Buntar).

Mujahid dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan berapakah kos yang diperlukan untuk melaksanakan RUU 355 jika ia diluluskan.

Sementara itu, menjawab soalan Mujahid mengenai perancangan kementerian untuk melaksanakannya ke seluruh negara, Jamil Khir berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah ( Bidang Kuasa Jenayah ) 1965 yang bertujuan memperluaskan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah sedia ada.

“Ini adalah untuk memastikan cadanga pindaan kepada Akta 355 tersebut dibuat secara teratur mengikut kerangka Perlembagaan Persekutuan, ” katanya.

RUU itu dijangka dibentang hari ini oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

SINAR HARIAN

.