RUU 355: INI HASRAT BESAR RAKYAT – AHLI PARLIMEN KUALA NERUS

KUALA LUMPUR – Keperluan meminda Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah(Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 di Dewan Rakyat, hari ini merupakan hasrat besar umat Islam di negara ini.

Malah menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, ia juga disokong oleh tokoh ulama antarabangsa seperti bekas Muraqib Aam Ekhwan Jordan, Syeikh Dr Hammam Sa’id dan tokoh ulamak tafsir Jordan, Syeikh Dr Solah Khalidi.

“Hari ini RUU 355 akan dibentang untuk dibahas di Dewan Rakyat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Ia bertujuan untuk mencadangkan pindaan terhadap RUU 355 daripada kadar hukuman tidak lebih tiga tahun penjara, lima ribu ringgit denda dan enam kali sebatan kepada tidak lebih 30 tahun penjara, 100 ribu ringgit denda dan 100 kali sebatan menurut Syariah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli parlimen dan rakyat beragama Islam  dan bukan Muslim agar sama-sama berdoa supaya segala usaha yang dibuat Abdul Hadi berjalan lancar.

“Akta ini setelah berjaya dipinda di Parlimen (akan) membolehkan Dun meminda kadar hukuman kesalahan syariah dalam Enakmen-enakmen Kesalahan Syariah yang akan terpakai di Mahkama Syariah Negeri.

“Akta 355 sejak diperkenalkan pada 1964 di Parlimen hanyalah berkaitan dengan kadar hukuman kesalahan jenayah di Mahkamah Syariah yang khusus untuk orang Islam sahaja sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia,” katanya lagi.

Abdul Hadi sekali lagi mengambil langkah membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah(Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 di Dewan Rakyat, hari ini.

Langkah tersebut diambil selepas kerajaan tidak akan membentangkan RUU itu di Parlimen.

– SH