RUSUHAN PARLIMEN: POLIS BURU ANAK TAJUDDIN

PETALING JAYA: Anak kepada Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dikenal pasti antara sepuluh individu yang terlibat dalam kejadian rusuhan di luar Parlimen.

Susulan itu Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh meminta Firdaus Tajuddin, 34, bersama sembilan individu lain termasuk dua wanita supaya menyerah diri kepada pihak polis bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.

“Laporan polis telah dibuat oleh pegawai polis yang bertugas di Parlimen dan siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Dalam kejadian itu tiada sebarang kecederaan dialami oleh mana-mana individu,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Sembilan individu lain yang diminta menyerah diri ialah Mohd Rizal Sahfie, Ariffin Mohamed Ali, Hasnah Md Razali, Erwan Halmi, Sapiah Aini Sulaiman, Norfirdaus Ahmad Zanian, Azmir Ahmad, Mohd Saffek Mohd Saleh dan Mohd Faizal Saidina Omar.

Terdahulu kumpulan berkenaan yang dipercayai ahli Umno Bahagian Pasir Salak bertindak menyerang Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ketika memasuki kawasan Parlimen.

Khalid dikerumuni kumpulan berkenaan sebaik sahaja beliau keluar dari keretanya yang diletak bersebelahan pintu masuk ke Dewan Rakyat.

Kejadian itu dipercayai berpunca apabila Khalid memanggil Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani sebagai ‘menteri sial’ pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin lalu.

Ia berlaku selepas Tajuddin menyifatkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai “satu-satunya wanita di Seputeh yang mempunyai ‘Kok.”

MSTAR

.