RUNDINGAN KERUSI PAKATAN DI SELANGOR, PULAU PINANG BERMASALAH?

AGIHAN kerusi dewan undangan negeri (DUN) di Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) tertangguh kerana parti komponen PKR.

Di Selangor, hanya PKR yang bertegas mengatakan rundingan rasmi sudah bermula sementara DAP, Amanah dan Bersatu berkata jawatankuasa pun belum ditubuhkan untuk membincangkan rundingan kerusi.

Di Pulau Pinang, difahamkan bahawa PKR sedang meninjau bahagian kerusi lebih besar, malah termasuk kerusi yang dipegang DAP.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengakui ada dua versi cerita tentang apa yang berlaku di Selangor.

Bagaimanapun, beliau diyakinkan oleh Menteri Besar Mohamed Azmin Ali, yang mengetuai rundingan kerusi di negeri itu sebagai ketua PH negeri, akan menangani isu berkenaan dalam cara lebih formal minggu depan.

“Tarikh akhir itu berguna tetapi hanya sebagai prinsip asas. Pada akhirnya, semua parti akan perlu lebih fleksibel.

“Perkara ini perlu dilakukan dengan cara tersusun. Kita sebelum ini berjaya menyelesaikan kerusi persekutuan. Bagi selebihnya, kita perlu membenarkan proses berkenaan berlangsung, asalkan kita tidak ambil masa terlalu lama.

“Saya tidak fikir kita perlu begitu tegar. Ia juga membabitkan emosi. Rakyat tidak sokong kita kerana duit, dan akar umbi bekerja keras untuk perjuangan ini,” katanya ketika ditemui pada program motivasi pelajar di Bandar Perda, Pulau Pinang, semalam.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata beliau yakin Menteri Besar Mohamed Azmin Ali, yang mengetuai rundingan kerusi di Selangor akan menangani isu berkenaan dalam cara lebih formal minggu depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2018.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata beliau yakin Menteri Besar Mohamed Azmin Ali, yang mengetuai rundingan kerusi di Selangor akan menangani isu berkenaan dalam cara lebih formal minggu depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2018.

Tarikh akhir untuk jawatankuasa PH menyelesaikan rundingan kerusi ialah 31 Januari. Bagi yang tidak berjaya diselesaikan, pembahagian kerusi akan ditentukan oleh kepimpinan pusat.

Nurul Izzah berkata semua gabungan politik berdepan isu pembahagian kerusi, tetapi turut menyentuh bahawa agihan kerusi di Selangor berbeza kali ini, dengan bekas sekutu PAS kini tiada lagi dalam pakatan “dengan pilihan untuk mengukuhkan Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaannya”.

PAS yang memutuskan hubungan politik dengan DAP dan PKR pada 2015 dan 2017, mengakhiri gabungan lama Pakatan Rakyat, dijangka akan mencetuskan pertandingan tiga penjuru di banyak kerusi di seluruh negara, terutama kawasan majoriti Melayu. Penganalisis meramalkan pertandingan seumpama itu akan memberi kelebihan kepada BN.

Dilaporkan salah satu alasan penangguhan dalam rundingan kerusi ialah cubaan PKR untuk menarik penyertaan PAS. Dikatakan ada kebimbangan PH mungkin gagal mempertahankan negeri itu tanpa bantuan parti Islam berkenaan.

“Semua orang mahu kerusi marginal dan menyatakan hujahan mereka. Ini normal. Ia politik dinamik.. ia satu proses,” kata Nurul Izzah.

“Kita juga perlu mengingatkan semua orang ini keputusan penting. Kami turut terkena kesannya. Sudah bertahun-tahun kami di sini, turut merana seperti ramai yang lain.

“Di hujungnya, kita perlu mengutamakan rakyat. Mereka menunggu tawaran PH pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Nurul Izzah mengakui ia mungkin boleh dikendalikan dengan lebih baik, tetapi PH juga mahu rakyat untuk faham bahawa gabungan itu sedang cuba membuat sehabis baik.

PKR dan PAS masing-masing memegang 13 kerusi dalam 56 kerusi DUN Selangor. DAP ada 14 kerusi sementara Amanah, dua. BN mempunyai 12 kerusi sementara dua lagi bebas.

Rundingan kerusi Pulau Pinang bermasalah?

Sementara itu, di Pulau Pinang di mana DAP mengetuai gabungan itu, seorang pemimpin PKR memberitahu The Malaysian Insight bahawa rundingan itu juga menemui jalan buntu kerana DAP enggan menyerahkan beberapa kerusinya.

Oleh sebab itu, Ketua Penerangan PKR negeri Dr Afif Bahardin berkata partinya juga tidak akan mengalah.

“Jika PKR perlu lepaskan kerusi, kami mahu DAP juga lakukan yang sama bagi memberi ruang kepada Bersatu dan Amanah. Jika DAP enggan berbuat demikian, PKR mahu semua 16 kerusinya.

“Penyerahan kerusi ini baik untuk semangat PH. Ia akan membantu dua lagi parti (Bersatu dan Amanah),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dr Afif, yang juga timbalan ketua Pemuda PKR berkata jika rundingan kerusi tidak boleh diselesaikan di peringkat negeri, keputusannya akan diserahkan kepada jawatankuasa nasional.

“Keseimbangan itu berubah sejak Pakatan Rakyat berkubur. Kami ada empat parti komponen dalam PH sekarang, bukan tiga. Sehingga hari ini, ia masih jalan buntu,” katanya yang juga exco kesihatan Pulau Pinang.

Di Pulau Pinang, difahamkan bahawa PKR sedang meninjau bahagian kerusi lebih besar, malah termasuk kerusi yang dipegang DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2018.
Di Pulau Pinang, difahamkan bahawa PKR sedang meninjau bahagian kerusi lebih besar, malah termasuk kerusi yang dipegang DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2018.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi. Pada PRU lalu, DAP bertanding di 19 kerusi, dan menang semuanya. PKR bertanding 16 kerusi tetapi hanya menang 10.

PAS bertanding enam kerusi, termasuk satu yang mencetuskan pertandingan tiga penjuru dengan PKR dan BN. Parti Islam itu hanya menang satu di Permatang Pasir, di mana PH menyerahkan kepada Amanah untuk bertanding. BN menerusi parti utamanya Umno, dapat 10 kerusi.

Semua kerusi DAP ialah kawasan majoriti Cina dan kerusi campuran sementara PKR bertanding di kerusi majoriti Melayu dan campuran. Jika DAP melepaskan kerusinya, ia mungkin akan diberikan kepada PKR, bukannya Bersatu dan Amanah, parti yang berasaskan Melayu. Kerusi kawasan Melayu yang tidak ditandingi oleh PKR akan diberikan kepada Bersatu dan Amanah.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan bahawa beberapa kerusi Melayu di Pulau Pinang akan dibahagikan antara PKR, Bersatu dan Amanah.

Seorang sumber dalaman Bersatu Pulau Pinang berkata partinya dan parti serpihan Pas iaitu Amanah bersetuju mereka akan bertanding di 10 kerusi yang dipegang BN.

“Kami PH Pulau Pinang sudah bersetujud ari hari pertama bahawa semua kerusi yang dimenangi pada PRU 2013 tidak akan dirundingkan. DAP boleh teruskan dengan 19 kerusi dan PKR 10 kerusi sementara Amanah ambil kerusi PAS.

“Ia dipersetujui sebulat suara. Tidak ada tentang penyerahan kerusi yang menang. Saya tidak boleh sahkan sama ada PKR benar-benar melihat ke arah itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sumber dari Bersatu berkata tidak mungkin DAP akan menyerahkan kerusi yang disandangnya, tetapi beliau tetap yakin pembahagian kerusi akan dapat diselesaikan.

Nurul Izzah turut bersetuju kerusi yang disandang tidak terbuka untuk rundingan, kecuali kerusi yang dipindahkan mempunyai kekuatan setara bagi kedua-dua parti.

“Tidak mungkin,” katanya ketika ditanya secara umum adakah PH mempunyai polisi di mana parti komponen menyerahkan kerusi yang dimenangi sebelum ini kepada sekutu mereka.

“Ia perlulah kerusi yang kekuatannya sama dan dipersetujui kedua-dua parti. Anda perlu hormat kerusi yang dimenangi parti berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha PH Pulau Pinang Wong Hon Wai daripada DAP berkata gabungan pembangkang di negeri itu mempunyai jadual sendiri untuk menyelesaikan rundingan kerusi.

“Kami akan umumkan nanti,” katanya, tanpa menjelaskan tentang perkembangan rundingan itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.