RUNDINGAN KERUSI HARAPAN SARAWAK SELESAI

Pakatan Harapan (HARAPAN) Sarawak hari ini mengumumkan mereka sudah mencapai persetujuan mengenai pembahagian kerusi menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Melalui kenyataan bersama hari ini, mereka berkata, PKR dan DAP akan diturunkan bertanding di kawasan parlimen yang sama seperti PRU ke-13 lalu.

Mengenai Parti Amanah Negara (AMANAH), calon mereka akan diletakkan di kerusi ditandingi PAS pada 2013.

“Mungkin akan ada beberapa perubahan tetapi ia tertakluk kepada persetujuan bersama antara parti terbabit.

“Kegagalan persetujuan mengikut perjanjian bersama, kami akan kembali kepada ketetapan bahawa parti yang bertanding di sesebuah kerusi pada PRU ke-13 akan bertanding di kerusi sama pada PRU ke-14,” kata kenyataan berkenaan.

Ia ditandatangani Ketua PKR Sarawak, Baru Bian; Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dan Ketua AMANAH negeri itu, Fidzuan Zaidi.

Perkembangan terbaru itu menandakan perubahan hubungan antara parti DAP dan PKR berbanding sebelum ini.

Ketika pilihan raya Sarawak lalu, rundingan pembahagian kerusi bermasalah menyebabkan di beberapa tempat belaku pertindikan calon sesama pembangkang.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, HARAPAN Sarawak mengumumkan mereka menubuhkan sebuah sekretariat membabitkan dua anggota kanan setiap parti bagi menyelaras kerjasama gabungan berkenaan.

Sekretariat itu juga akan merangka manifesto bersama HARAPAN Sarawak.

– M’kini

.