RUNDINGAN KERUSI DI SELANGOR MASIH BERJALAN: AZMIN

SHAH ALAM – Rundingan berhubung kerusi Pakatan Harapan (Harapan) bagi PRU14 di Selangor masih berjalan.

Pengerusi Harapan Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau berharap rundingan itu dalam kalangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Amanah dan DAP dapat diselesaikan secepat mungkin.

Menteri Besar Selangor itu menyifatkan rasa tidak puas hati Bersatu berkaitan rundingan itu sebagai perkara biasa di mana parti-parti berkenaan bebas memberikan pendapat masing-masing.

“Ia (demokrasi) adalah proses kecoh dan kita harus membenarkan mereka menyatakan pandangan. Sebab itu dari awal lagi saya katakan kalau  kita dapat menyelesaikan usaha itu sekurang-kurangnya 80, 90, atau 95 peratus, ia adalah kejayaan besar.

“Tetapi jika ada kerusi, barangkali kurang daripada lima peratus yang perlu dirundingkan, kita harus benarkan proses itu kerana kita hendak menang,” katanya kepada pemberita selepas satu majlis konvokesyen di sini hari ini.

Ketua penerangan Bersatu Sallehudin Amiruddin berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan pengumuman Harapan Selangor bahawa 35 daripada  56 kerusi di Selangor telah diputuskan.

Sallehudin berkata, Bersatu mengintai 12 kerusi Umno negeri, tetapi mendakwa kerusi itu telah diberikan kepada PKR.

– Bernama

.