RUNDINGAN 1MDB TEMUI JALAN BUNTU, LAPOR WSJ

Rundingan mengenai penyelesaian tuntutan Abu Dhabi AS$6.5 bilion terhadap 1MDB telah menemui jalan buntu, demikian menurut laporan The Wall Street Journal.

Menurut laporan itu, Abu Dhabi dan Malaysia hampir mencapai perjanjian pada Disember lalu dengan Putrajaya perlu membuat pembayaran AS$1.2 bilion sebagai langkah pertama untuk menyelesaikan pertikaian itu.

“Tetapi Malaysia menarik diri kerana penasihat kepada perdana menteri tidak berpuas hati dengan perjanjian itu,” kata laporan itu yang memetik sumber yang biasa dengan perkara itu.

Pertikaian tersebut kini dijangka menjurus kepada peringkat timbang tara antarabangsa, katanya.

Menurut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, kira-kira AS$3.5 bilion dana 1MDB termasuk yang sepatutnya di bayar kepada Aabar Investments PJS, anak syarikat International Petroleum Investment Company dari Abu Dhabi telah dilencongkan ke beberapa individu termasuk Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low.
1MDB juga enggan membayar balik pinjaman kecemasan IPIC yang diberikan kepada dana Malaysia pada Mei 2015.

Pada bulan Jun tahun lalu, IPIC mengumumkan mahu membawa 1MDB dan Kementerian Kewangan Malaysia ke proses timbang tara antarabangsa tetapi mengadakan rundingan atas permintaan Putrajaya.

– M’kini

.