‘RUMAH SAYA BUKAN BERHARGA RM7 JUTA’

AMPANG ‎- Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly mengulangi  bahawa harga rumahnya  di sini bukanlah berharga RM7 juta.

“Saya jelaskan rumah itu, saya beli bukan dengan harga tersebut,” katanya dalam sidang medianya di Ibu Pejabat PKR Ampang, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan‎ Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang menuduh beliau memiliki kekayaan luar biasa.

Terdahulu Jamal meninjau kekayaan Adam dengan menaiki menaiki helikopter.

Jamal mendakwa, pemimpin 28 tahun itu memiliki banglo ala Disneyland dan pelbagai kereta mewah meskipun baru sepenggal memegang jawatan dalam parti berkenaan.

Dalam pada itu, Adam turut menafikan bahawa ‎beliau adalah pegawai khas kepada Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

“Saya bukan pegawai kepada YB Zuraida Kamaruddin…saya bukan pembantu khas beliau, saya adalah Ketua Pemuda PKR Ampang‎,” ujarnya.

Katanya sudah tentu dalam politik beliau perlu membantu Zuraida.

“Hubungan kami hanya dalam hubungan politik tidak ada hubungan kerja selebih daripada itu,” katanya lagi.

SINAR HARIAN

.