RUMAH FLINTSTONE SULTAN JOHOR TARIK PERHATIAN

MERSING – Menarik, unik dan cantik itu komentar netizen mengenai rumah Flintstone, milik Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang terletak di Mersing.

Di reka khas mengikut tema animasi The Flintstone, rumah itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lengkap termasuk sebuah padang bola sepak.

“Rumah ini boleh dicadangkan sebagai antara binaan ajaib di dunia. Super menarik!,” tulis Matt Adli petik Johor Southern Tiger.

Sementara menurut Fadzli Ak, rumah Flintstone yang dibina di Mersing itu akan merancakkan ekonomi di bandar itu.

“Idea Sultan Johor juga yang naikkan Mersing dalam peta pelancongan,” tulisnya.

Dalam pada itu, menurut Carlitos Alfredo pembinaan rumah Flintstone itu membawa suatu kelainan berbanding istana sultan yang lain.

“Tipikal istana biasanya dipenuhi perabot yang ‘bling-bling’, tapi rumah ini dipenuhi batu, sebab Tuanku Sultan Ibrahim minat animasi Flintstone, ‘humble dan cute’,” tulisnya.

Terdahulu semalam, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sempat meluangkan masa bersama pemain skuad Johor Darul Ta’zim dalam jamuan makan malam di Rumah Flintstone.

Baginda yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) turut mengambil kesempatan tersebut untuk memberikan kata-kata semangat dan perangsang kepada para pemain Harimau Selatan.

– Sinar Harian

.