‘RUJUKLAH PAS, KALAU DIA ORANG PAS’

SHAH ALAM – “Kena tanya dia (Datuk Mahfuz Omar) kenapa rujuk surat khabar, kena rujuklah batang tubuh, rujuklah Pas, kalau dia orang Pas.

Demikian ulasan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berhubung kenyataan Mahfuz semalam yang dipetik berkata strategi Pas yang cuba ‘makan keliling’ akan hanya menyebabkan parti itu dianggap sebagai parti yang oportunis, tidak berprinsip dan tidak boleh dipercayai.

Idris berkata, sebagai orang Pas, Mahfuz sepatutnya lebih arif untuk mendapatkan maklumat parti.

“Kenyataan rasmi Pas ada pada Harakah, bukan maklumat diambil tepi jalan,” katanya merujuk kepada kenyataan Mahfuz yang menyatakan  hala tuju tidak tentu Pas boleh menyebabkan parti itu hilang sokongan dan kepercayaan rakyat.

Mahfuz berkata demikian merujuk kepada Kenyataan rasmi terbaru yang dikeluarkan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang parti sedia membentuk gabungan dengan mana-mana parti lain termasuk BN bagi membentuk kerajaan campuran selepas PRU akan datang.

“Budaya politik tak tentu hala Pas sudah pasti akan dijadikan panduan kepada kedua-dua blok politik untuk menentukan apakah sikap mereka terhadap Pas dalam menghadapi PRU14?

“Saya percaya rakyat dan ahli Pas akan menjarakkan diri dari parti apabila menyedari parti hanya berkehendakkan undi mereka untuk dijadikan ‘alat tawar menawar’ dengan mana-mana pakatan politik yang menang,” katanya.

– http://www.sinarharian.com.my/

.