RUANG KERJASAMA PAS-BERSATU MASIH TERBUKA

KOTA BHARU – Pemuda Pas optimis kerjasama Pas dengan Bersatu berlaku meskipun Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad sering kali bersikap negatif termasuk melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap ulama.

Ketua Penerangan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Tun Mahathir bukan lagi faktor penting dalam politik, malah kenyataan yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu boleh dinilai sendiri oleh masyarakat sama ada relevan atau sebaliknya.

“Kita di pihak parti sendiri sudah buat keputusan tidak akan ada sebarang kerjasama antara Pas dengan DAP dan Amanah. Kita akan terus menentang BN. Bagi kita, Bersatu masih mempunyai peluang untuk kerjasama dengan Pas.

“Kalau kenyataan Tun Mahathir sendiri boleh menyebabkan kerugian kepada Bersatu, mereka boleh buat keputusan sendiri,” katanya kepada media ketika menghadiri majlis penyampaian geran keusahawanan anak muda Kelantan di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyifatkan sikap Tun Mahathir yang tidak pernah berubah sekali gus menyukarkan lagi kerjasama antara pembangkang secara keseluruhan.

Sebelum ini, Mohd Amar berkata, Tun Mahathir sejak dari dahulu merasakan dirinya betul, banyak ilmu dan setaraf ulama, malah tindakan melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap ulama termasuk mufti menunjukkan sikapnya yang masih tidak berubah.

Sementara itu, ketika ditanya adakah Pas akan mengikut telunjuk Tun Mahathir sekiranya kedua-dua parti itu bekerjasama, Ahmad Fadhli menegaskan, isu itu tidak pernah timbul kerana setiap parti mempunyai kepimpinan tertinggi.

Ketua Pemuda Pas negeri itu juga berkata, parti Islam tersebut pernah bersama dalam Pakatan Rakyat dan barisan alternatif, malah bukti menunjukkan mereka tidak perlu mendengar nasihat sesiapa untuk membuat keputusan.

Mengulas mengenai perancangan Pemuda Pas negeri, Ahmad Fadhli berkata, pihaknya sudah mengatur beberapa siri ceramah melibatkan pimpinan parti itu dan PKR, malah tidak menolak kemungkinan akan sepentas dengan Bersatu.

– Sinar Harian

.