ROSMAH, JANGAN TAKUT-TAKUTKAN ARTIS, KATA HARAPAN

Pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini tampil membidas kenyataan pembantu khas kepada isteri perdana menteri Datuk Rizal Mansor yang menasihatkan golongan artis agar jangan membiarkan diri mereka diperkudakan oleh parti-parti pembangkang.

Bagi Naib Pengerusi DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, tidak ada sebab bagi kerajaan menakut-nakutkan artis atau selebriti yang sekadar meluahkan perasaan terhadap kos kehidupan yang semakin meningkat ini.

“Mengapa harus takutkan artis atau selebriti jika mereka meluahkan perasaan tidak puas hati dengan kos barangan yang semuanya mahal ketika ini, (sedangkan) mereka pun rakyat juga.

“Kalau ada seorang dua yang buka mulut pun bukan kondem terus kepada BN/Umno tetapi (mengenai) kehidupan harian masa kini (mereka) yang kian mencabar.

“Takkan itu pun PM (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) dan isteri (Datin Seri Rosmah Mansor dah tergugat?” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut ADUN Mentakab itu, Rizal sepatutnya bersikap professional dan tidak seharusnya takut dengan bayang bayang sendiri.

Semalam, pembantu khas Rosmah itu, itu membidas pembangkang yang didakwanya menjadikan artis sebagai ayam tambatan untuk meraih perhatian dari rakyat atau untuk menarik pengundi muda.

Merujuk kemenangan Aishah dalam program Gegar Vaganza yang menurut Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad akan membantu parti itu menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Rizal berkata rakyat tidak bodoh untuk memberikan undi kepada pembangkang.

Menurutnya, rakyat hadir ke ceramah untuk mendengar apa yang ditawarkan dengan mengundi pembangkang dan bukan untuk berasa terhibur, mendengar kelunakan suara artis atau semata-mata mahu mendapatkan autograf artis.

Mengulas isu sama, Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan, Aiman Athirah Al Jundi berkata, amaran Rizal itu sangat lucu dan menyerlahkan sikap tipikal serta usaha stereotaip Umno/BN dalam meletakkan intelektualisme artis pada tahap yang sangat rendah.

“Artis bukan mesin dan robot seni yang hanya diambilkira pandangan serta kewujudan mereka sebagai penghibur dan terhad kepada industri hiburan semata-mata.

“Mereka adalah insan rakyat yang juga punya kemuliaan dan kebebasan bersuara.

“Sekaligus setiap mereka berhak menyatakan sikap serta pendirian yang bukan sahaja dalam bidang seni, tetapi bidang kehidupan yang lebih besar yang mana artis sendiri adalah sebahagian daripada kelompok sosial itu,” katanyanya dalam satu kenyataan media.

Aiman Athirah berkata, artis bebas memilih untuk bersama dengan mana-mana parti, sama ada Umno BN atau Pakatan Harapan yang mereka yakini mampu membela kehidupan dan masa depan mereka dan rakyat.

“Berikan hak itu kepada mereka. Kemudian biarkan mereka mengendalikannya secara profesional dan matang.

“Politikus pemerintah tidak perlu khuatir dan risau dengan perkembangan ini.

“Politik propaganda menekan rakyat berbeza kecenderungan politik dan politik “instill fear” harus dihentikan segera,” katanya.

Aishah adalah anggota AMANAH dan aktif bersama pergerakan wanita parti itu. Beliau menewaskan empat peserta Gegar Vaganza lain, iaitu Liza Hanim, Hazami, Tia Jinbara, Lan dan Firman Siagian.

Penglibatan Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin dalam politik bermula pada 2012 selepas menyertai PAS sebelum bertanding sebagai calon parlimen Jempol pada PRU 2013 menentang bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad.

Pada 2015, Aishah bersama-sama ramai lagi ahli PAS berhijrah ke AMANAH, susulan perpecahan dalaman parti itu.

Sejak kebelakangan ini, sejumlah artis dan selebriti bersuara mengenai isu harga barang dan kos sara hidup yang terus meningkat.

– M’kini

.