ROSMAH GAGAL SOAL ZUCKERBERG MENGENAI AKAUN PALSU FACEBOOK

Isteri perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menegaskan bahawa beliau tidak pernah mempunyai akaun laman sosial, khususnya Facebook dan Twitter.

Sehubungan itu, Rosmah mengingatkan orang ramai untuk tidak terpedaya dengan mana-mana laman sosial yang menurutnya, terdapat 20 akaun Facebook menggunakan namanya.

“Saya tidak pernah mendaftar akaun Facebook. Saya tak ada Twitter. Cuma ada (telefon bimbit) Samsung yang antik. Asalkan boleh buat panggilan, terima panggilan… hantar dan jawab SMS (khidmat pesanan ringkas).

“Kalau ada baca (laman sosial atas nama saya), maknanya telah kena tipu. (Jika) ada apa-apa dengan saya, tanya secara berdepan. Cakap perkara yang betul, jangan cakap bohong,” katanya.

Rosmah berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Tahunan Bersama Penaung Skuad Sayang Kebangsaan di Dewan Tun Dr Ismail bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Skuad Sayang Kebangsaan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, yang juga ketua Wanita UMNO dan Naib Ketua Wanita UMNO Datuk Azizah Mohd Dun.

Rosmah berkata kewujudan akaun Facebook palsu itu ‘memberi semangat’ kepadanya untuk menghadiri sesi ucaptama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook Mark Zuckerberg pada Sidang Kemuncak CEO 2016 di Lima, Peru, baru-baru ini.

Semangat untuk berjumpa dengan Zuckerberg menyebabkan beliau ditegur suaminya Datuk Seri Najib Razak yang ‘hairan’ melihat beliau sanggup keluar awal pagi sedangkan mereka tiba lewat di Peru, tambahnya.

“Saya jawab (kepada Najib) yang saya nak tanya soalan pada Zuckerberg iaitu “anda (Zuckerberg) perlu ada mekanisme untuk mengesan akaun Facebook yang palsu. Saya tunggu tapi tak ada sesi soal jawab.

“Saya tanya juga pada pegawai jika saya boleh bertanya kepada beliau tetapi pegawai cakap tak boleh sebab beliau kena perlu bergegas ke tempat lain. Saya nak tanya kerana Facebook pun ada kekurangan,” katanya.

Dalam pada itu, Rosmah yang juga penaung Skuad Sayang mengingatkan anggota skuad itu untuk menguasai media sosial kerana fenomena gelombang media sosial baharu telah mentransformasikan landskap politik negara.

“Gunakan saluran media sosial yang strategik dengan optimum dalam menguar-uarkan usaha kita. Gunalah media sosial sebagai senjata maya kita untuk menyalurkan maklumat yang benar dan mematahkan fitnah dan tohmahan pembangkang,” katanya.

Rosmah berkata langkah itu sesuai memandangkan kajian Landskap Digital Malaysia 2016 melaporkan 69 peratus atau 21 juta daripada 31.5 juta populasi daripada rakyat Malaysia merupakan pengguna Internet.

Daripada jumlah itu, katanya 68 peratus atau 21 juta adalah pengguna aktif media sosial paling popular seperti Facebook, Twitter dan YouTube, dan secara purata rakyat Malaysia menggunakan Internet selama 5.1 jam sehari dan 2.8 jam untuk melayari laman sosial.

– Bernama

.