ROSAK KRISMAS KERANA KLIA TERGENDALA

APA maknanya apabila satu bahagian penting di sebuah lapangan terbang tergendala pada ketika yang sangat tidak dijangka?

Dan bukannya pula kali yang pertama. Sejujurnya, ini kali ketiga tahun ini.

Perkhidmatan aerotren di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi tergendala setelah mengendalikan 95,000 penumpang dalam masa 12 jam, kata Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebooknya.

Syarikat pengendali lapangan terbang yang tersenarai ini berkata 16 buah bas telah dikerahkan segera untuk membawa penumpang antara terminal utama dan bangunan satelit.

“Disebabkan penggunaan yang kerap, tren berkenaan dihentikan bagi penyelenggaran kecemasan untuk memastikan bahagian-bahagiannya diservis supaya dapat meneruskan operasi,” kata MAHB.

Persoalannya, kenapa jadi lagi? Apakah tidak ada jadual penyelenggaraan aerotren berkenaan? Terutamanya menjelang musim puncak ketika cuti sekolah hujung tahun dan musim cuti?

Apatah lagi, syarikat itu pada September lepas mengatakan akan ada baik pulih besar-besaran menjelang hujung tahun. Ini sudah hujung tahunlah.

Pengarah Urusan MAHB, Badlisham Ghazali ketika itu berkata: “Kita juga sedang separuh jalan melakukan penyelenggaraan penuh ke atas dua buah tren.”

Apa sudah jadi dengan penyelenggaran penuh itu?

Ya, KLIA umurnya sudah 20 tahun dan begitu jugalah aerotren tersebut tetapi bukan bermakna ia rosak hanya kerana sudah uzur? Kalau itulah sebabnya, kenapa tidak ada apa-apa dibuat untuk menggantikannya mengikut jadual?

Hanya ada satu istilah untuk menggambarkan kegendalaan yang berulang-ulang ini: tidak cekap.

Baik bahagian penyelenggaraan atau pengurusan tinggi, ada orang yang tidak cekap dan ia mengakibatkan kerugian wang ringgit kepada syarikat dan banyak orang merah muka, itu pun kalau mereka ada rasa malu.

Ia juga menjejaskan masa dan keseronokan penumpang pada detik-detik gembira musim cuti ini.

Bagi Malaysia, ini satu lagi kejadian yang mencemarkan nama baik kita – sebuah negara yang pernah dikenali kerana kemodenan dan kecekapan tetapi sekarang lebih terkenal dengan skandal kewangan dan lapangan terbang terbaik yang tergendala.

– https://www.themalaysianinsight.com

.