ROS MULA SIASAT BERSATU

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) memulakan siasatan terhadap Bersatu berhubung status Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu yang mendapat bantahan ahli parti pembangkang berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, memandangkan siasatan itu memerlukan penelitian dokumen yang akan mengambil sedikit masa, ROS diminta mempertingkatkan siasatan.

“Kita telah  meminta ROS bukan sekadar memulakan siasatan, tetapi dapat mempertingkatkan siasatan dan penuhi aduan-aduan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas gesaan ahli Bersatu yang mahu ROS mempercepat siasatan dan mengambil tindakan kerana mendakwa AGM pada Disember lepas tidak sah dan melanggar peraturan perlembagaan parti.

Semasa ditanya sama ada ROS boleh menyiapkan siasatan itu dalam tempoh dua minggu, Ahmad Zahid berkata: “Terpulanglah kepada mereka. Saya tidak pernah terlibat dalam aktiviti pengoperasian mereka (ROS).”

Pada sidang media itu, Ahmad Zahid membidas  dakwaan Pakatan Harapan bahawa penggubalan undang-undang baharu bagi mengekang berita palsu adalah untuk “menutup kebenaran”.

“Penggubalan undang-undang baharu tidak sama sekali untuk menutup sebarang kebenaran,” tegasnya.

“Semasa Pilihan Raya Umum Ke-13, dakwaan tentang 40,000 rakyat Bangladesh dibawa masuk ke Malaysia bukankah berita palsu? Itukah ‘kebenaran’ yang mereka mahu paparkan lagi?

“Berita palsu akan ada dalam strategi kempen saat-saat akhir, itu saya pasti,” katanya semasa mengulas  kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta supaya undang-undang itu tidak digunakan  untuk menutup kebenaran.

Pada majlis perhimpunan semalam, Ahmad Zahid melancarkan Sistem Pemprofilan Rekrutmen (Spier) KDN di mana ia dibangunkan untuk mengenal pasti calon pengambilan yang mampu memenuhi kriteria terutama dari segi personaliti, integriti, kesihatan mental, kompetensi dan patriotisme.

Spier akan digunakan untuk pengambilan kakitangan KDN khususnya bagi penguat kuasa, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.

Spier merupakan tiga sistem ujian psikometrik berkomputer dan boleh digunakan dalam proses pembangunan kendiri pegawai.

Spier bagi Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) sedang dibangunkan dan akan digunakan sepenuhnya menjelang 2019.

– Bernama

.