ROMBAKAN BESAR-BESARAN LEPAS RAYA – KPN

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat rombakan besar-besaran peringkat atasan di semua bahagian di Bukit Aman dalam masa terdekat, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Katanya, setakat ini sekurang-kurangnya 20 anggota dari bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman telah pun ditukarkan.

“Peringkat bawahan JSJN kita dah mula buat beberapa pertukaran jadi ada sedikit lagi pertukaran kita akan buat.

“Tetapi suka juga saya nyatakan bahawa dalam tempoh terdekat ini PDRM akan membuat rombakan besar di peringkat atas, mungkin selepas raya,” katanya kepada pemberita selepas program Singgah Sahur Warga PDRM bersama Ketua Polis Negara, Sabtu.

Bagaimanapun beliau berkata pertukaran dalam PDRM merupakan perkara biasa dan hanya sesekali pertukaran ‘luar biasa’ akan dilakukan.

Mengenai kes mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia dipercayai didera, Khalid berkata polis masih lagi menjalankan siasatan.

“Pihak kami masih menjalankan siasatan jadi tunggulah sehingga selesai siasatan kemudian kita akan bentangkan kes kepada Peguam Negara tidak lama lagi,” katanya.

Zulfarhan Osman, 21, Pegawai Kadet Laut UPNM meninggal dunia di Hospital Serdang, 1 Jun lepas dengan kesan lebam dan melecur pada badan.

Susulan kejadian itu, polis telah mereman 36 penuntut UPNM termasuk empat penuntut Universiti Tenaga Nasional (Uniten) yang yang berusia 20 hingga 21 tahun.

Pelajar Uniten itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-Bernama

.