Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, juste­ru, setiap pemimpin parti di semua peringkat bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan kaum tersebut selain bijak menguruskan isu yang mengundang salah persepsi masyarakat.

“Pagi tadi saya mengadakan lawatan ke Sekolah Tinggi Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur, selain taklimat mengenai sekolah, kami turut mengadakan perbincangan mengenai sistem pendidikan yang digunakan oleh sekolah persendirian.

“Tujuan lawatan adalah penting bagi merombak benteng kesamaran atau ketidakfahaman sa­lah persepsi tentang perkara-perkara yang menyentuh kepen­tingan nasional,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat bulanan Biro Penerangan UMNO di sini hari ini.

Annuar berkata, lawatan ke sekolah terbabit turut diiringi Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau selain Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah.

Beliau menjelaskan, antara yang menarik perhatian dalam pertemuan itu ialah perbincangan berhubung polemik sistem persijilan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Katanya, kedua-dua pihak bertukar pandangan secara si­hat termasuk membincangkan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang mementingkan pendidikan untuk semua masyarakat berbilang kaum.

“Lawatan itu amat berfaedah supaya kesangsian itu dapat diuruskan dengan baik dan bukannya dibiarkan berlaku mengikut sentimen masing-masing.

“Ini kerana ada pihak yang mengambil kesempatan apabila ada timbul isu sensitif yang akan melihat mengikut perspektif keuntungan politik jangka pendek,” katanya.

UTUSAN

.