ROGOL: Pemandu pelancong dipenjara, sebat

KOTA BHARU – Padah rogol kekasih bawah umur, seorang pemandu bot pelancong dihukum penjara 13 tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

Hukuman diputuskan Hakim, Adli Abd Ghalib terhadap Muhamad Ramzi Zulkifli, 21, selepas tertuduh didapati bersalah pada akhir kes perbicaraan.

Tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun di sebuah rumah di Cherang Ruku, Pasir Puteh, pada jam 10 malam, pada 15 Ogos 2014.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Kelantan, Siti Hajar Alias memohon mahkamah menjatuhkan hukuman dengan mengambil kira peratusan kes seumpamanya yang makin meningkat. – Sinar harian

.