RM90 JUTA: PAS ADA 10 SAKSI

SHAH ALAM – Pas mendedahkan bahawa pihaknya mempunyai kira-kira 10 saksi bagi memberi keterangan di mahkamah berhubung kes saman terhadap Sarawak Report di United Kingdom.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, selain itu, pihaknya sedang giat membuat persiapan bagi mengumpulkan saksi-saksi di Malaysia untuk membantu memberi keterangan di mahkamah berhubung kes tersebut.

“Pada masa ini, kita tengah senaraikan saksi-saksi yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan United Kingdom untuk bantu beri keterangan.

“Di dalam mahkamah, saksi-saksi ini kadang-kala dipanggil dalam bentuk keterangan bertulis, affidavit dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sebelum ini, Sarawak Report mendakwa pemimpin atasan Pas telah menerima RM90 juta yang dimasukkan ke akaun pihak terbabit sebagai salah satu usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menarik kepimpinan parti Islam itu supaya menyokong BN dan Umno.

Susulan itu, Pas memaklumkan bahawa peguamnya di United Kingdom telah menghantar surat tuntutan pada 13 Disember tahun lalu kepada Sarawak Report yang mengandungi tiga tuntutan.

Antara tuntutan yang dinyatakan sebelum ini adalah supaya Sarawak Report menarik balik artikel bertarikh 6 Ogos 2016, membuat permohonan maaf mengikut terma yang dipersetujui oleh Pas dan pihak berkenaan perlu memberi jaminan untuk tidak menyiarkan tuduhan palsu pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu memaklumkan bahawa kes tersebut mempunyai tempoh masa selama enam tahun untuk tindakan saman dan pihaknya sedang dalam proses ke arah tersebut.

“Saya minta pihak-pihak yang menekan Pas supaya mengambil tindakan saman ini agar tidak perlu bimbang kerana kita tetap dengan pendirian untuk ambil tindakan tersebut.

“Bila ia (saman) akan dilaksanakan, itu terpulang kepada peguam,” katanya.

Buat masa ini, Takiyuddin berkata, pihak peguam juga sedang dalam proses untuk mengkaji tentang kesan dan impak diatas tindakan saman yang akan di ambil tersebut.

Tambah beliau, Pas sentiasa membincangkan mengenai isu berkenaan dalam setiap Mesyuarat Pas Pusat malah hasrat untuk menyaman Sarawak Report juga telah dinyatakan sejak petengahan Disember tahun lalu lagi.- Sinar Harian

“Pada pertengahan Disember lalu, kita telah nyatakan hasrat kita untuk saman pihak berkenaan.

“Tapi bilakah sama itu akan diambil masih belum dinyatakan kerana pelbagai persiapan seperti dokumentasi, saksi dan sebagainya perlu dilengkapkan terlebih dahulu sebab kita perlu buktikan pada mahkamah tentang kes ini,” katanya.

– Mstar